Lapan jam disiasat, Guan Eng tinggalkan ibu pejabat SPRM


Alfian Z.M. Tahir

Soal siasat terhadap Lim dilakukan selepas SPRM awal bulan ini merakam kenyataan penggantinya Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2020.

SELEPAS keterangannya dirakam selama lapan jam hari ini, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng meninggalkan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hari ini adalah sesi soal siasat ketiga Lim dengan pegawai anti-rasuah berhubung skandal terowong bawah laut di Pulau Pinang.

Lim yang tiba pada pukul 10.45 pagi tadi, meninggalkan ibu pejabat SPRM pada pukul 7 malam tanpa memberikan sebarang ulasan kepada media.

Semalam bekas menteri kewangan itu disoal siasat selama tujuh jam manakala Rabu lalu, setiausaha agung DAP itu menghabiskan enam jam di ibu pejabat SPRM.

Soal siasat terhadap Lim dilakukan selepas SPRM awal bulan ini merakam kenyataan penggantinya, Chow Kon Yeow.

Tuduhan rasuah mengenai projek ini pertama kali didedahkan oleh blogger Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, seorang bekas ahli PKR.

Dia mendakwa pada bulan Februari dan Mac tahun lalu ketua menteri Pulau Pinang, Lim dan exco negeri, turut terlibat dalam “kolaborasi jenayah” dan menerima sogokan berkaitan projek itu.

Exco yang disoal siasat oleh SPRM adalah Jagdeep Singh Deo, yang memegang portfolio kerajaan tempatan, Chong Eng (pembangunan wanita dan keluarga), Phee Boon Poh (masyarakat dan kebajikan) dan Lim Hock Seng (kerja, utiliti dan pengangkutan). – 26 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen