PKR ikrar rampas Gombak, Ampang daripada ‘pengkhianat parti’


Mohd Farhan Darwis Kamles Kumar

Gombak dan Ampang adalah wilayah PKR dan parti itu akan merampasnya semula, kata Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Mohd Akin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Julai, 2020.

PKR akan merampas kembali Parlimen Gombak dan Ampang “daripada pengkhianat” dalam pilihan raya umum akan datang kerana itu merupakan kerusi tradisi parti itu, kata Ketua Penerangan parti Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau mengingatkan bekas pemimpin parti yang dipecat Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin bahawa kawasan Parlimen itu wilayah PKR, yang mereka khianati apabila berpaling tadah dalam gerakan politik pada Februari lalu.

“Kita nak ingatkan pada pengkhianat ini, ini adalah wilayah PKR.

“Kita akan tawan semula Ampang dan Gombak pada pilihan raya akan datang,” katanya, semasa berucap menyampaikan amanat di Konvensyen Penerangan PKR di sebuah hotel di Ampang, Selangor, hari ini.

Azmin dan Zuraida dipecat dari PKR pada hujung Februari selepas terlibat mendalangi gerakan politik yang membawa kepada runtuhnya pentadbiran Pakatan Harapan dan diganti dengan gabungan baharu Perikatan Nasional.

Kedua-dua bekas pimpinan PKR yang dipecat itu adalah ahli Parlimen Gombak dan Ampang, yang mereka wakili masuk penggal ketiga sejak Pilihan Raya Umum 2008.

Sementara itu, Shamsul berkata PKR akan terus melaksanakan proses pemutihan, selepas beberapa pemimpinnya berpaling tadah bertindak meninggalkan parti.

“Lebih 400 orang kita dah nyahkan dan bersihkan daripada parti. Kita akan buat secara berfasa. 

“Saya harapkan ini masanya yang penting untuk kita perbetulkan saf dan muafakat kita,” katanya.

Dalam pada itu, katanya PKR juga tidak menghalang mana-mana lagi ahli dan pimpinannya yang masih ragu-ragu dan mahu meninggalkan parti.

“PKR melalui pelbagai fasa yang mematangkan kita, yang mana nak bersama kekal dengan parti, yang mana goyang 50-50, nampak pintu keluar, sila keluar. 

“PKR parti ‘gentlemen’... nak bersama kita, silakan. Yakin dengan agenda reformasi… kekal, soal dulu sokong siapa, kemudian.

“Ini namanya perjuangan… kamu bersama kita, kita sokong sehabis kuat. Kalau tak bersama kita, kita lawan sehabis kuat,” tegasnya. – 26 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen