Guan Eng di SPRM lagi


Alfian Z.M. Tahir

Lim Guan Eng sampai di SPRM Putrajaya pada jam 10.45 pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 Julai, 2020.

LIM Guan Eng kembali ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi sesi soal siasat kali ketiga berkaitan skandal terowong dasar laut Pulau Pinang.

Bekas menteri kewangan itu ditemani peguamnya RSN Rayer sampai di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10.45 pagi.

Kedua-duanya terus masuk ke dalam bangunan itu tanpa bercakap dengan media yang menunggu.

Semalam, Lim meninggalkan SPRM pada jam 7.50 malam selepas tujuh jam sesi soal siasat.

Lim yang sepatutnya mula beri keterangan pada jam 10 pagi, tiba lewat tiga jam selepas tayar keretanya pancit di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Simpang Pulai, Perak.

Pada Rabu lepas, Lim disoal siasat selama enam jam.

Sesi soal siasat itu berlaku selepas tiga bulan SPRM merekodkan keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Dakwaan rujudnya unsur rasuah dalam projek itu pertama kali dibangkitkan penulis blog, Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin.

Pada Februari dan Mac tahun lepas, beliau mendakwa Lim dan exco Pulau Pinang terlibat dalam “kerjasama jenayah” dan menerima suapan berkaitan projek mega bernilai RM6.3 bilion itu.

Exco yang sudah disoal siasat SPRM ialah Jagdeep Singh Deo (kerajaan tempatan), Chong Eng (pembangunan wanita dan keluarga), Phee Boon Poh (kebajikan dan masyarakat) dan  Lim Hock Seng (kerja raya, utiliti dan pengangkutan).

Bekas exco hal ehwal agama Islam Abdul Malik Abul Kassim juga sudah memberi keterangan kepada SPRM. – 26 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen