Atas runtuhan Pakatan, kita dirikan gerakan Daya


KITA berusaha berdaya berkumpul hari ini dalam suasana yang amat amat berlainan.

Awal tahun dahulu kita semua yang berada di dalam dewan ini saya rasa majoritinya adalah penyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Aktivis sosial, pemimpin dari parti politik PKR, DAP dan Amanah – semuanya penyokong tegar PH.

Kini semua telah berubah. Perubahan berlaku kerana pada awal tahun ini kita dilanggar oleh dua virus.

Virus  pertama ialah virus Crown Corona. Virus kedua ialah virus “Crown Perdana Menteri”. 

Virus korona menjerut nyawa warga dunia. Virus perdana menteri menjerut nyawa kerajaaan PH.

Virus  pertama meledakkan pandemik Covid-19 kepada dunia. Virus kedua meledakkan PH membawa pandemik kekalutan dan kekusutan politik ke Malaysia.

Kedua-dua virus ini adalah pembawa new normal – norma kehidupan baru – yang wajib kita jalani.

Dua virus inilah yang menjadi pemangkin kelahiran Daya. NGO Daya bertelur, mengeram dan menetas dalam reban virus korona. NGO Daya dieram dalam kandang dan suhu panas virus perdana menteri.

Mari kita lihat kembali pada 9 Mei 2019 ketika kita semua menyambut kemenangan PH.

Seluruh alam mengalu-alukan kejayaan kita. Dunia memberi penghormatan. Tak sudah sudah kita tersenyum.

Tup tup, pada 24 Febuari 2020 kita menyaksikan keruntuhan PH.

Segala niat, segala cita-cita, segala akidah, segala harapan, segala nawaitu untuk melakukan perubahan struktural runtuh, punah, gagal berkecai.

Perjalanan sejarah menyaksikan bagaimana keberahian kepada kerusi perdana menteri telah meruntuhkan sebuah kerajaan.

Ketika PH runtuh ketika ini juga masuk virus korona melanggar kita dan mengancam dunia.

Ini hakikat. Ini fakta sejarah.

Ahli sejarah 100 tahun dari petang ini akan melihat kembali  apa yang telah berlaku. Detik dan babak-babak 2020 – tahun yang dijanjikan sebagai Tahun Malaysia Boleh – akan dibaca sebagai komedi seram lagi sedih – tragic horror comedy – genre yang hanya lahir dari Malaysia.

Melihat bagaimana kemenangan rakyat pada 9 Mei 2019 telah dibajak oleh keberahian virus perdana menteri.

Kita yang duduk di dalam dewan ini hari ini wajib mengumpul pengalaman. Kita wajib belajar dari kesilapan.

Kita jangan lagi senang diperangkap oleh sosok-sosok yang berjubah dan berwirid. Sosok-sosok yang penuh retorik dengan topeng agama.

Keruntuhan kerajaan PH ini sedang dibayar harganya dengan begitu mahal sekali.

Kitalah – kitalah, anak semua bangsa, bangsa semua agama – warga Malaysia yang membayar harga keruntuhan kerajaan PH. Harganya mahal sekali.

Atas robohan Kota Melaka

Kita dirikan jiwa Merdeka

Atas keruntuhan Pakatan Harapan

Kita dirikan Gerakan Daya

NGO Daya ini adalah benang merah benang hijau benang patriot benang cintakan kebenaran dan benang keadilan – Benang Daya – menyambung perjuangan datuk nenek moyang kita dahulu.

Dari Tok Gajah, ke Mat Kilau, ke Datuk Bahaman, ke Tok Janggut hingga ke Raja Haji pahlawan terbilang.

Dari Maharaja Lela ke Boestamam, ke  Burhanuddin, ke Shamsiah Fakeh, ke Rashid Maidin, ke Chin Peng ke Ganapathy. Anak semua bangsa, bangsa semua agama. Inilah daya kita.

Generasi hari ini dan generasi masa hadapan tidak ada pilihan. Mereka wajib bangun menyusun dan mendirikan tembok politik, tembok ekonomi dan tembok budaya untuk berhadapan dengan masa depan yang pastinya lebih mencabar.

Datanglah virus apa sekali pun. Rakyat akan tetap bangun melawan.

Bukan sahaja Daya wajib memahami dan merungkai politik dalam negara – politik Malaysia dan politik Asean, tetapi Daya juga wajib siap siaga dengan pandangan dan garis politik yang tepat  untuk berhadapan dengan politik dan tingkah laku Tanah Besar China.

Pengalaman negara di benua Amerika Latin wajib dipelajari. Lihat dan pelajari bagaimana Amerika Syarikat menjadikan negara Amerika Latin sebagai tanah simpanan ladang pisang. 

Daya usaha kita ialah akan menentang sesiapa sahaja yang ingin mejadikan Malaysia sebagai ladang durian atau ladang manggis.

Daya dan NGO negara Asean wajib menjalinkan kerjasama untuk berhadapan dengan Tanah Besar China.

Awas dan waspada, Lautan Sunda akan menjadi pentas perang. 

Pada petang ini saya beri ingatan, dalam memahami politik hari ini jangan sesekali lupa kepada  kisah lama – babak pembelotan Sang Rajuna Tapa membuka pintu kota untuk musuh masuk menyerang.

Saya yakin Daya akan bertemu dengan Sang Rajuna Tapa baru yang akan membuka bukan pintu Istana tetapi pintu negara untuk berjuta-juta musuh meluru masuk. Amin.

Daya lahir dalam zaman korona. Ertinya Daya wajib mendidik kita semua untuk memahami apa makna dan apa tanda dan apa garis perjuangan pasca Covid-19.

Walau pun serangan Covid-19 ini belum selesai tetapi kita semua wajib memahami dan menyediakan diri.

Kita wajib sedar akan keruntuhan sistem ekonomi yang sedia wujud. Sistem ekonomi kapitalis Amerika dengan sistem kesihatan swasta telah terbukti gagal melawan Covid-19.  

Dalam masa yang sama puluhan juta warga dunia hilang pekerjaan.

Dalam negara kita kebanjiran pendatang asing yang halal dan haram – yang ada kerja dan yang tak ada kerja – semua wajib kita hadapi dengan garis kemanusiaan yang tepat.

Covid-19 membuka pelbagai masalah, dalam masa yang sama ia juga membuka pelbagai kemungkinan.

Covid-19 mencabar kemanusiaan kita.

Tugas suci Daya ialah memberi pencerahan pasca Covid-19. Ini tugas mulia Daya.

Selain menyambung  tradisi gerak aksi Bersih, Daya juga wajib melahirkan pemikir, intelektual rakyat, dengan membuka analisa yang membawa pencerahan.

Semua ini untuk bersiap sedia berhadapan dengan zaman pasca Covid-19.

Saya beharap jangan kita ulangi ayat bahawa Daya ini sebuah NGO multiracial.

Untuk saya lebih tepat Daya wajib dikenali sebagai NGO milik anak semua bangsa dan bangsa semua agama.

Untuk memahami kenapa ayat “anak semua bangsa” selalu saya guna pakai  kerana inilah daya usaha saya untuk membuka perbualan tentang agenda persoalan nasional yang masih belum selesai.

Persoalan nasional ini juga saya harap akan menjadi projek Daya.

Saya ulangi sekali lagi:

Atas robohan Kota Melaka

Kita dirikan jiwa Merdeka

Atas keruntuhan Pakatan Harapan

Kita dirikan Gerakan Daya

Kepada ahli pemandu Daya saya ucapkan selamat menyusun. Kepada kawan-kawan yang di dalam dewan dan di luar dewan saya ucapkan selamat berdaya. Terima kasih. – 26 Julai, 2020.

* Petikan teks ucapan Hishamuddin Rais sempena pelancaran Pertubuhan Daya Masyarakat (Daya) di Dewan Sivik MPPJ, di Petaling Jaya pada Sabtu, 25 Julai 2020.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen