Pakatan kukuh di Selangor walau Azmin tiada, kata MB


Noel Achariam

KERAJAAN Selangor masih kukuh dan tidak goyah seperti dakwaan sesetengah pihak susulan pemergian Mohamed Azmin Ali dan wakil rakyat lain yang dipecat PKR, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Katanya, PKR dalam DUN Selangor masih mempunyai jumlah Adun teramai iaitu 17 orang, diikuti DAP (16) dan lapan orang Adun Amanah dalam dewan 52 kerusi itu. Tiga orang Adun Bersatu turut menyatakan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan Selangor.

“Saya tak boleh menafikan Azmin ada impak kepada politik negeri Selangor. Kalau tidak, tidak berlaku perubahan.

“Tapi saya juga gembira walaupun beberapa watak penting seperti Azmin dan Zuraida keluar PKR membentuk PN (Perikatan Nasional) di pusat. Menggoyang beberapa kerajaan negeri. Tetapi dari segi konteks keadilan dan parti kita tidaklah terlalu terjejas,” kata Amirudin kepada The Malaysian Insight menerusi rancangan bual bicara, Insight Talk.

Pada 24 Februari lalu, Azmin, timbalan presiden PKR dan Zuraida Kamaruddin, naib presiden antara beberapa orang pemimpin kanan parti reformasi itu yang dipecat daripada parti.

Azmin, 55, membawa keluar bersamanya 10 ahli Parlimen PKR daripada PH untuk bekerjasama dengan Bersatu, Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti kecil Sabah untuk membentuk PN dan merampas Putrajaya.

Kumpulan Azmin itu kemudiannya menyertai Bersatu diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pada Mac, Azmin dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri dalam barisan Kabinet baharu.

Azmin adalah ahli Parlimen Gombak dan Adun Bukit Antarabangsa, Zuraida pula adalah ahli Parlimen Ampang. Kedua-duanya bertanding pilihan raya 2018 guna tiket PKR.

Agenda reformasi lebih besar berbanding mana-mana individu, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2020.

Amirudin berkata walaupun pengaruh Azmin dan Zuraida dalam kalangan kumpulan tertentu masih kuat dalam parti, majoriti ahli parti terus kekal setia dengan perjuangan parti dan menyokong agenda reformasi.

“Pengaruh terhadap individu sudah pasti memang ada, tetapi ramai lihat kekuatan perjuangan dan perubahan digerakkan sejak 2008 berpusat daripada PKR bukan individu,” jelasnya.

“Kita pernah kehilangan MB yang sangat berpengaruh, Khalid Ibrahim yang dipecat parti. Ramai jangka bila dia dipecat PKR akan muram dan tidak lagi mampu bertapak kukuh.

“Tetapi keputusan PRU lepas membuktikan kita menang semua seat dan jadi majoriti dan masih diberikan peluang sebagai MB oleh rakan PH,” katanya lagi.

Khalid selepas kemelut dengan kepimpinan tertinggi parti, digantikan dengan Azmin pada 2015.

Tambah Amirudin, kesetiaan kepada parti masih kukuh berdasarkan laporan cabang tentang ahli yang berpaling tadah.

“Daripada 22 cabang, tidak ada satu pun terbubar dengan penghijrahan, keluarnya, beralihnya pendirian mereka terhadap PN,” katanya merujuk kepada khabar angin ada cabang tidak lagi bersama-sama parti.

Azmin Ali adalah nama besar PKR Selangor, tetapi keluar parti itu dan berpakat dengan lawan berpuluh tahun membentuk Perikatan Nasional di Putrajaya.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2020.

Komitmen terhadap Selangor

Walaupun, banyak krisis tercetus sehingga membawa kepada perubahan di Putrajaya, Amirudin percaya PKR masih lagi platform terbaik reformasi.

“Perjuangan lebih besar daripada mana-mana individu. Saya akan terus bersama PKR kerana parti ini alat terbaik untuk agenda reformasi.

“Saya mahu tekankan yang saya dalam PKR bukan kerana mana-mana individu. Bukan kerana presiden (Anwar Ibrahim), bukan kerana timbalan bila Azmin pegang jawatan itu.

“Saya sangat jelas dengan pendirian saya yang reformasi adalah agenda utama.”

Tambahnya, matlamat utama PKR adalah menjaga kebajikan rakyat dan golongan susah, menjunjung demokrasi, membasmi korupsi, dan semua ini masih merupakan agenda reformasi parti. – 26 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen