Nelayan Kuala Muda runsing, ikan banyak tetapi pembeli kurang


Zaim Ibrahim

Nelayan Pantai Bisik, Kuala Muda bimbang dengan situasi semasa apabila peraih tidak banyak membeli ikan daripada mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Julai, 2020.

NELAYAN di Kuala Muda, Kedah mengeluh pendapatan mereka jatuh separuh sejak pandemik Covid-19 menutup saluran pasaran terutamanya pasar malam, menyebabkan peraih membeli hasil tangkapan dengan harga murah.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight pendapatan bersih mereka boleh mencecah sehingga RM300 setiap kali membawa naik hasil tangkapan ikan sebelum kerajaan mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Namun sejak 18 Mac lalu, pendapatan mereka tidak lebih RM150 walaupun hasil tangkapan seperti biasa.

“Hasil tangkapan banyak, sama macam waktu sebelum Covid 19. Tetapi hasil jualan tidak banyak, itu yang kami risau setiap hari,” kata Mohd Tarik Abd Hamid, nelayan yang ditemui di Pasar Bisik Kuala Muda.

Katanya, pendapatan mereka jatuh kerana peraih ikan juga tidak seramai dahulu dan mereka tidak lagi membeli ikan dengan banyak.

“Kalau dahulu turun sahaja dari laut, sudah ada peraih tunggu ikan untuk beli daripada kami… sekarang tidak lagi.

“Sebabnya pasar-pasar malam masih banyak belum dibuka. 

“Peraih yang ada pun tidak beli banyak, bimbang ikan tidak terjual,” katanya, yang sudah 20 tahun jadi nelayan.

Mohd Tarik memberi contoh, kalau dahulu ada peraih yang membeli hasil tangkapan ikan sehingga 600 kg tetapi sekarang mereka membeli hanya 200 kg sahaja.

“Ikan senangin dahulu RM25 sekilo, sekarang turun RM15. Ikan tenggiri RM20 sekilo, sekarang RM8. Ikan kembung pula kini jatuh RM2 sekilo berbanding RM6 sebelum wabak Covid-19.

“Lebihan ikan yang kita tangkap, saya akan jual kepada kilang sejuk beku tetapi kilang beli dengan harga murah, untung 10 sen sahaja sekilo.

“Depa pun tidak ambil banyak, sebab ikan tak boleh dieksport ke luar negara,” tambahnya.

Hasil tangkapan banyak, sama macam waktu sebelum Covid 19. Tetapi hasil jualan tidak banyak, itu yang kami risau setiap hari, kata Mohd Tarik Abd Hamid, nelayan Pasar Bisik Kuala Muda. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Julai, 2020.

Seorang lagi nelayan, Nazrul Ismail, 37, berkata mereka kini risau ada atau tidak peraih untuk membeli ikan, setiap kali naik ke Pasar Bisik.

Jelasnya, walaupun pengunjung ke pasar itu ramai, mereka tidak membeli dengan jumlah yang banyak seperti peraih.

“Orang biasa beli untuk buat lauk harian sahaja. Sejak musim Covid-19 pula, ramai yang buat perniagaan ambil pesanan dan jual kepada orang terdekat.

“Tetapi mereka pun tidak membeli ikan secara pukal,” kata beliau

Jelasnya, pendapatan beliau kurang setengah jadi RM100 berbanding RM200 sehari sebelum kerajaan menguatkuasakan PKP.

Harga hasil laut juga kurang 30%, katanya.

“Contohnya udang Gred A, sekarang RM50 sekilo berbanding RM80 sebelum ini.

“Peraih yang ada sekarang pun tidak ramai, susah hati juga tengok,” tambahnya.

Pasar Bisik Kuala Mudah di Kedah yang menjadi tumpuan untuk mendapatkan hasil laut yang segar popular dengan amalan berbisik antara pembeli dan penjual sebelum masing-masing bersetuju pada harga terbaik.

Amalan itu dilakukan turun temurun sejak lebih 50 tahun lalu, sejak pasar itu mula dibuka pada tahun 1960-an.

Namun akibat wabak Covid-19, beberapa peraturan ditetapkan termasuk larangan kepada amalan bisik-membisik.

Peraih ikan Mazlan Omar, 52, mengakui peraih di pasar itu sudah tidak seramai seperti dahulu.

Ini kerana pasar malam umumnya belum lagi dibuka sementara pasar tani juga tidak ramai orang.

“Ambil contoh di sini… Jumaat sampai Ahad saja ramai tapi Isnin sampai Khamis tidak ramai.

“Pasar malam ada lagi tidak buka. Peraih dulu hari-hari ambil ikan tapi sekarang seminggu dalam tiga kali saja.

“Hasil jualan ikan kepada pihak ketiga boleh sampai RM2,000 sehari tetapi sekarang, kita dapat RM500-RM600 sahaja,” jelasnya.

SOP jual beli juga berubah di Pantai Bisik, Kuala Kedah, tiada lagi amalan berbisik untuk mendapatkan harga terbaik kerana wabak Covid-19 yang berlaku sekarang. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Julai, 2020.

Tambah Mazlan, peraih semakin kurang kerana ada yang tidak sanggup menanggung rugi.

“Peraih pun ada pekerja perlu dibayar upah. Apabila hasil hanya RM500-RM600 sahaja susah mahu bayar kepada pekerja,” katanya lagi.

Mazlan turut memberitahu, di Pasar Bisik Kuala Muda ramai peniaga kini berniaga separuh masa.

“Ada yang mengambil upah membeli ikan, ada yang membuat pra tempahan hantar kepada orang lain.

“Walaupun mereka bantu membeli ikan-ikan tetapi tidak banyak,” tambahnya.

Mula jual ikan ketika wabak Covid-19

Muhammad Fathi Bakhir, 30, dari Seberang Jaya, Pulau Pinang adalah antara orang yang mula mencebur diri berniaga mengambil tempahan ikan di sekitar daerah itu ketika kerajaan melaksanakan PKP.

“Waktu awal PKP orang tak boleh keluar rumah jadi saya ambil tempahan dan cari ikan yang pelanggan mahu. Biasanya tempat pilihan saya di Pasar Bisik Kuala Muda dan Pasar Bisik Penaga.

“Harga di sini (di jeti) murah dan ikannya segar. Saya pun kenal nelayan-nelayan di sini, jadi tunggu mereka turun dan beli ikan,” katannya.

Dalam sehari Fathi membeli 100 hingga 200kg mengikut tempahan pelanggan yang majoritiya penduduk di sekitar Permatang Pauh. Hasil usahanya itu mampu meraih pendapatan RM200-RM300 sehari.

“Biasanya orang beli ikan temenung, tenggiri, udang dan sotong. Harga ada naik turun, saya pun ambil untung tidak banyak, lepas duit minyak dan sedikit upah.

“Harga ikan sekarang pun turun, sebab ramai tidak membeli. Tapi bagi saya, orang seperti kami masih boleh bantu nelayan di sini,” tambahnya. – 26 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen