Peraturan wajib pakai pelitup muka cetus pembelian panik


Khoo Gek San

Kebanyakan pembekal tidak lagi mengambil stok pelitup muka kerana bimbang perubahan harga siling. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2020.

PUTRAJAYA perlu memberi jaminan kepada rakyat bahawa bekalan pelitup muka di pasaran mencukupi bagi mengelakkan berlakunya pembelian panik, kata sektor farmasi.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, sejak pengumuman Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob minggu lalu tentang pemakaian wajib pelitup muka di tempat awam bermula 1 Ogos, berlaku pembelian panik di kedai.

Kata mereka penjualan pelitup muka di kedai mereka meningkat antara lapan hingga 10 kali ganda.

Pengurus kanan pemasaran Caring Pharmacy SM Seow berkata bekalan pelitup muka di pasaran mencukupi sejak beberapa minggu lalu susulan stok yang dihasilkan tempatan dan import.

“Pengumuman mengejut kerajaan menyebabkan pengguna membeli stok,” katanya.

“Bekalan pelitup muka pada bulan lepas mencukupi. Pengguna tidak perlu panik.

“Pembekal kami sama ada dari luar negara atau tempatan, memaklumkan bekalan adalah mencukupi.

Beliau berkata hasrat kerajaan adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran tentang kesihatan dan perlindungan dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka dan bukannya mencetuskan panik.

Seow berkata Putrajaya perlu memaklumkan kepada rakyat yang bekalan pelitup muka di pasaran tempatan mencukupi.

Jika tidak, katanya pembelian panik akan berlaku dan menyebabkan kenaikan harga.

Menteri Perdagangan Domestik dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Ling sebelum ini berkata harga siling bagi pelitup mula adalah RM1.20 bermula 15 Ogos.

Katanya penetapan semula harga itu selaras dengan langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Harga runcit barang itu kini RM1.50 seunit, dan akan diturunkan kepada RM1.20 bermula 15 Ogos.

Seow berkata kebanyakan pembekal tidak lagi mengambil stok pelitup muka kerana bimbang perubahan harga siling.

Satu lagi ahli farmasi yang hanya mahu dikenali sebagai Ooi berkata walaupun ramai orang mula membeli pelitup muka sejak pengumuman itu, bekalan barang itu masih cukup di pasaran.

“Tidak perlu panik,” kata Ooi yang mengendalikan AA Pharmacy di Kepong. – 26 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen