Bekalan berlebihan, harga pelitup muka boleh diturunkan, kata pengeluar


Khoo Gek San

Kerajaan boleh menurunkan harga siling daripada Rm1.20 kepada 80 sen dan langkah itu tidak akan menjejaskan syarikat pengeluaran kerana permintaannya masih tinggi, kata syarikat pengeluar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2020.

HARGA pelitup muka boleh diturunkan sehingga 80 sen sekeping dan boleh diberikan percuma kepada keluarga B40 kerana bekalannya lebih daripada mencukupi di pasaran, kata salah satu pengeluar pelitup muka terbesar negara.

Pengarah Urusan Healthcare Sdn Bhd Haminuddin Abd Hamid berkata kepada The Malaysian Insight yang Putrajaya perlu menarik larangan mengeksport pelitup muka.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan larangan eksport pelitup muka kerana mahu memenuhi permintaan tempatan.

Haminuddin berkata sejak beberapa bulan lalu, pengeluaran tempatan meningkatkan tahap pengeluaran dan dengan pelitup muka import, terdapat lebihan bekalan di pasaran.

Ideal Healthcare yang sebelum ini menghasilkan sejuta pelitup muka sebulan, kini mengeluarkan 3 juta bagi tempoh sama.

Haminuddin berkata terdapat lebih bekalan pelitup muka dalam negara dan ia boleh diberikan secara percuma kepada keluarga B40.

“Tiada gangguan bekalan bahan mentah yang disalurkan dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

“Selain itu, ada juga bekalan pelitup muka import yang menambah jumlah penghasilan tempatan.

“Bekalan di gudang mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran,” katanya.

Haminuddin berkata kerajaan boleh menurunkan harga siling daripada RM1.20 kepada 80 sen dan langkah itu tidak akan menjejaskan syarikat pengeluaran kerana permintaannya masih tinggi.

Namun beliau memberi nasihat kepada masyarakat umum agar berhati-hati membeli pelitup muka secara dalam talian yang mungkin murah tetapi tiada jaminan kualiti.

“Pelitup muka yang dihasilkan secara tempatan lebih selamat daripada import.”

Katanya ramai pihak mengambil kesempatan menjual stok berkualiti rendah dengan harga murah.

Pelitup muka dikecualikan daripada duti import, menjadikannya produk yang boleh dijual dan dibeli dengan mudah. – 26 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen