8 rakyat Malaysia antara jemaah haji tahun ini, lapor media


Arab Saudi hanya membenarkan 10,000 umat Islam terpilih mengerjakan haji tahun ini kerana wabak Covid-19. – Gambar AFP, 25 Julai, 2020.

SEKURANG-KURANGNYA lapan rakyat Malaysia di Arab Saudi antara 10,000 umat Islam yang terpilih untuk mengerjakan ibadat haji pada tahun ini, yang akan bermula dengan wukuf pada Khamis ini di tengah penularan Covid-19, lapor Utusan Malaysia.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Alauddin Mohd Nor berkata mereka adalah pelajar dan pekerja di Arab Saudi.

“Daripada jumlah itu tiga jemaah lelaki dan lima wanita. Bagaimanapun tiada kakitangan dari Kedutaan Besar dan Konsulat Jeneral yang terpilih,” katanya, seperti dipetik oleh akhbar itu.

Alauddin menjelaskan jumlah itu dimaklumkan sendiri oleh jemaah haji yang terlibat.

“Pihak konsultan masih belum mengetahui jumlah sebenar dan maklumat lanjut jemaah haji Malaysia yang dibenarkan kerajaan Arab Saudi,” tambahnya.

Kerajaan Arab Saudi mengehadkan bilangan jemaah haji pada tahun ini terhad kepada mereka yang menetap di negara itu dan tidak melibatkan bakal jemaah dari luar negara.

Mereka yang terpilih sebelum ini diminta mendaftar dengan pihak berkuasa haji dan umrah Arab Saudi untuk dipilih dengan saringan ketat.

Syarat ketat yang dikenakan termasuk hanya dalam kalangan mereka di bawah umur 65 tahun dan tidak mempunyai penyakit kronik.

Antara yang terpilih ialah dua adik beradik Maryam Munirah Mohammad Masruh, 22, yang akan ditemani abangnya Musthafa Muadz, 30, sebagai mahram. Kedua-dua mereka sedang menuntut di Arab Saudi, lapor Utusan Malaysia.

Menurut Mustafha, semua bakal jemaah dibekalkan beg khas berisi kit pencegahan pandemik Covid-19 oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Mereka juga hanya dibenar mengerjakan haji ifrad iaitu ibadat haji diikuti umrah, katanya yang berlepas ke Madinah hari ini sebelum berihram di Qarnul Manazil pada Rabu.

Jemaah haji juga hanya dibenarkan berada di Mekah sehingga 2 Ogos, katanya.

Pandemik Covid-19 yang bermula pada Disember 2019 setakat ini sudah menjangkiti hampir 16 juta orang di seluruh dunia dan mengakibatkan lebih 642,000 maut.

Ketika pandemik merebak teruk, Arab Saudi menggantung pengeluaran visa umrah pada Mac lalu bagi membendung penularan wabak. Ia kemudian mengehadkan bilangan jemaah haji, yang lazimnya mencecah 2.5 juta orang setiap tahun. – 25 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen