Guan Eng akan sambung keterangan di SPRM hari ini


Alfian Z.M. Tahir

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng sepatutnya sampai jam 10 pagi tadi di SPRM Putrajaya, tetapi lewat kerana tayar keretanya pancit di Plus. – Gambar Facebook, 25 Julai, 2020.

AHLI Parlimen Bagan Lim Guan Eng dijangka disoal siasat sekali lagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini, berkaitan projek kontroversi terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Bekas menteri kewangan itu bagaimanapun lambat tiba di pejabat SPRM selepas tayar kereta dinaikinya pancit di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran Simpang Pulai, Perak, pagi ini.

Lim sepatutnya tiba jam 10 pagi tadi tetapi menerusi Facebooknya, memberitahu dia dan peguamnya RSN Rayer sedang dibantu pegawai Plus.

Rabu lepas, Lim disoal siasat selama enam jam oleh SPRM.

Sesi soal siasat itu berlaku selepas tiga bulan SPRM merekodkan keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Dakwaan rujudnya unsur rasuah dalam projek itu pertama kali dibangkitkan penulis blog, Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin.

Pada Februari dan Mac tahun lepas, beliau mendakwa Lim dan exco Pulau Pinang terlibat dalam “kerjasama jenayah” dan menerima suapan berkaitan projek mega bernilai RM6.3 bilion itu.

Exco yang sudah disoal siasat SPRM ialah Jagdeep Singh Deo (kerajaan tempatan), Chong Eng (pembangunan wanita dan keluarga), Phee Boon Poh (kebajikan dan masyarakat) dan  Lim Hock Seng (kerja raya, utiliti dan pengangkutan).

Bekas exco hal ehwal agama Islam Abdul Malik Abul Kassim juga sudah memberi keterangan kepada SPRM. – 25 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen