Pelanggan McDonald's di AS wajib pakai pelitup muka


Afif Abd Halim

McDonald's kini mewajibkan pelanggan di semua rangkaian restorannya di AS pakai pelitup muka mulai 1 Ogos ini. – Gambar AFP, 25 Julai, 2020.

MCDONALD’S kini mewajibkan pelanggan di semua rangkaian restorannya di Amerika Syarikat (AS) pakai pelitup muka mulai 1 Ogos ini.

Gergasi rangkaian makanan segera di seluruh dunia itu terus beroperasi di AS meskipun kes jangkitan Covid-19 belum reda tetapi melalui khidmat pandu lalu dan bawa pulang.

“Pelanggan dikehendaki pakai pelitup muka apabila masuk ke restoran kami di AS berkuat kuasa 1 Ogos.

“Ia selaras dengan keutamaan kami iaitu menjamin kesihatan dan keselamatan pekerja, francais dan pelanggan kami,” kata McDonald’s dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, McDonald’s juga berkata ruang makan dalam restoran akan dihadkan.

Langkah itu menyusuli pengumuman Walmart, Target dan beberapa lagi syarikat besar AS yang mewajibkan pelanggan memakai pelitup muka.

Banyak negeri juga mewajibkan pemakaian pelitup muka berikutan kes jangkitan Covid-19 naik mendadak di sebelah barat dan selatan AS.

Gabenor Texas Greg Abbott semalam berkata 85% peratus penduduk di negeri itu menyokong langkah kerajaan negeri mewajibkan pemakaian pelitup muka.

“Kami tidak mahu tutup (ekonomi) lagi,” kata Abbott di CNBC.

“Hanya satu sahaja cara mengelaknya, dengan memakai pelitup muka.” – AFP, 25 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen