Nurul Izzah takut bertanding di Lembah Pantai, kata Shahrizat


Muzliza Mustafa

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dikatakan takut untuk bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum akan datang kerana pesaingnya dahulu Raja Nong Chik Zainal Abidin sudah berkhidmat dengan baik kepada rakyat di situ, kata Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2017.

AHLI Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dikatakan takut untuk bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum akan datang kerana pesaingnya dahulu Raja Nong Chik Zainal Abidin sudah berkhidmat dengan baik kepada rakyat di situ, kata Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.

“Saya dengar ramai calon pembangkang nak lari dari tempat mereka. Tak tau la betul ke tak. Macam (Nurul) Izzah Lembah Pantai.

“Orang complain beliau tak berkhidmat. Tak tau la, mana-mana saya pergi pengundi complain absentee wakil rakyat, taktau la betul ke tak, ini feedback,” kata Shahrizat.

Shahrizat berkata Nurul Izzah takut bertanding di Lembah Pantai kerana Raja Nong Chik yang tewas kepadanya pada pilihan raya umum lepas selama ini mengambil alih tugasnya berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.

Selepas kekalahan pada 2013, Raja Nong Chik, seorang akauntan bertauliah mula menjenamakan semula dirinya sebagai “pakcik peramah dari Lembah Pantai.”

Pada pilihan raya lalu, Nurul Izzah mengalahkan Raja Nong Chik dengan majoriti 1,847.

Pada 2008, Nurul Izzah merampas kerusi kawasan itu daripada Shahrizat.

“Cakap retorik saja. Banjir, Lim Guan Eng boleh menangis. Apa lah ni. Pemimpin pembangkang hanya cakap saja, ada bencana sikit sudah lari. Telefon siapa? Pemimpin BN (Barisan Nasional) juga,” katanya pada sidang media tengahari tadi.

Sebelum itu, Shahrizat berkata Wanita Umno tidak gentar sekiranya ahlinya terpilih untuk menentang pemimpin atasan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita orang potlitik sedia terima cabaran. Kalau tempat (Lim) Kit Siang bertanding memang ada wanita sedia bertanding, kita tak takut. Orang politik tak takut. Nak menang mesti berani,” kata Shahrizat.

Katanya lagi, Wanita Umno juga akan bertindak berani jika mereka diminta bertanding di mana-mana sahaja termasuklah di kawasan dipegang Nurul Izzah.

“Misalnya tempat (Lim) Kit Siang ke Nurul (Izzah) atau sesiapa sahaja, kalau ia adalah calon Wanita (Umno) kita sikit pun tak takut. Yang saya tak nak bila kawasan dah tau hitam nak hantar Wanita jadi kambing hitam, itu saya tak nak.” – 6 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen