JUALAN kenderaan di Malaysia jatuh 41.1% kepada 174,675 unit pada separuh pertama tahun ini berbanding 296,317 unit bagi tempoh sama tahun lalu, kata Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Aishah Ahmad hari ini.
Beliau berkata keadaan itu berpunca daripada wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan virus itu.
“Kesan daripada pandemik dan perintah sekatang itu, jualan kenderaan baharu sangat terjejas,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
“Kecuali untuk Februari dan Jun, trend jualan tahun ke tahun turun (y-0-y) secara konsisten bagi separuh pertama 2020, berbanding tempoh sama pada 2019.”
Kenderaan penumpang menyumbang jualan terbesar pada 91%. Ia juga menyaksikan penurunan y-o-y pada 41.3% kepada 158,876 daripada 270,861 unit bagi tempoh sama tahun lalu.
Kenderaan komersial pula, jatuh 37.8% daripada 25,456 kepada 15,799 unit.
Semua sub segmen kenderaan penumpang dan komersial merekodkan penurunan jualan.
Jumlah pengeluaran keseluruhan menyaksikan penurunan 41.7% kepada 166,049 unit berbanding 284,640 bagi tempoh sama tahun lalu, akibat penutupan loji pemasangan motor dari pertengahan Mac hingga pertengahan Mei kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.
Aishah berkata syarikat automotif berdepan kesukaran pada awal tahun, dengan perubahan dalam kaedah penilaian pasaran terbuka oleh Jabatan Kastam pada Januari 2020.
Ini membawa kepada kelewatan pelancaran kereta baharu dan gangguan kepada jualan.
Permintaan turut terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi dan penurunan keyakinan pengguna, katanya.
Jualan kenderaan meningkat 1.05% pada Jun, dengan 44,695 unit dijual berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Jualan turun pada Mac, April dan Mei kerana PKP apabila syarikat automotif tidak boleh beroperasi.
Namun, jualan bulan ke bulan bertambah baik sejak Mei hingga Jun susulan pengumuman pengecualian cukai jualan hingga akhir tahun di bawah pakej Penjana. – 24 Julai, 2020.
Komen