Polis India ambil langkah berjaga-jaga menjelang ulang tahun runtuhnya Masjid Babri


Sebahagian aktivis Islam daripada pelbagai organisasi mengambil bahagian dalam protes sempena ulang tahun ke-20 perobohan masjid Babri di Ayodhya, di New Delhi, India, pada 06 Disember 2012. Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku, pihak berkuasa India pada Rabu mengarahkan agar undang-undang, peraturan dan keharmonian masyarakat dipastikan di seluruh negara. – Gambar EPA, 6 Disember, 2017.

PIHAK berkuasa Uttar Pradesh di India pada Rabu keluarkan amaran mengenai langkah berjaga-jaga menjelang sambutan ulang tahun ke-25 runtuhnya Masjid Babri iaitu masjid yang dibina pada abad ke-16, lapor agensi berita Xinhua.

Ketua Polis Negara, Sulkhan Singh menerusi surat yang dihantar kepada semua pejabat polis daerah, mengarahkan agar undang-undang, peraturan dan keharmonian masyarakat dipastikan di seluruh negeri.

Singh turut mengarahkan para pegawai untuk mengenakan perintah larangan, jika perlu.

Laporan menyatakan tambahan kontinjen keselamatan ditempatkan di bandar Ayodhya sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

“Kenderaan di sempadan daerah turut diperiksa. Langkah berjaga-jaga dipertingkatkan di 18 daerah sensitif dan agensi perisikan juga telah dimaklumkan,” katanya.

Masjid itu dirobokan pengikut hindu yang fanatik, di bawah kepemimpinan Parti Bhartiya Janta (BJP) pada 1992, mencetuskan rusuhan kaum besar-besaran di antara Hindu dan Islam, mengorbankan 2,000 nyawa, kebanyakannya penganut Islam.

Ramai penganut Hindu percaya masjid itu dibina di atas tempat kelahiran Lord Ram.

Pada Selasa, Mahkamah Agung India memulakan pendengaran akhir kes pertikaian tapak masjid berkenaan untuk memutuskan siapa yang lebih berhak.  

Awal tahun ini, mahkamah mengarahkan 13 pemimpin BJP dibicarakan kerana ucapan yang berbaur hasutan untuk mempengaruhi ribuan aktivis Hindu merobohkan masjid itu pada 1992. – Bernama, 6 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen