Kerajaan tak guna akta filem untuk sekat kebebasan bersuara di media sosial, kata menteri


Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata kerajaan tidak pernah berniat menggunakan undang-undang penerbitan filem untuk menyekat kebebasan bersuara di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2020.

KERAJAAN Perikatan Nasional tidak berniat menggunakan undang-undang penerbitan filem untuk menyekat kebebasan bersuara di media sosial, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Menteri itu berkata beliau hanya menerangkan tentang undang-undang yang sedia ada iaitu Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 dan syarat perlesenan untuk pembuat filem.

“Saya hanya menerangkan undang-undang yang sudah digunakan selama ini iaitu oleh kerajaan terdahulu termasuk BN dan PH.

“Perlu ditegaskan bahawa kerajaan PN tidak pernah dan tidak berniat menggunakan akta ini untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial iaitu fenomena yang tidak wujud ketika Akta ini digubal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Pada 1981 teknologi pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok, Youtube dan sebagainya. Kementerian ambil maklum bahawa Akta ini perlu penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata kementerian terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dalam memperbaiki bukan sahaja Akta dibahaskan pagi tadi malah semua undang-undang di bawah pengawasan kementerian supaya bersesuaian dengan kehendak semasa.

Terdahulu di Dewan Rakyat hari ini Saifuddin menjawab pertanyaan daripada ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi yang bertanya sama ada semua penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran.

Dalam jawapannya Saifuddin berkata syarat dikenakan kepada semua pembikin filem, termasuk yang menyiarkannya di platform media sosial dan terpakai kepada media arus perdana serta pengguna media peribadi.

Isu lesen Finas bagi dokumentari dan filem bukan komersial timbul baru-baru ini susulan tindakan tegas terhadap Al Jazeera berhubung dokumentarinya berjudul ” Locked up in Malaysia’s Lockdown”.

Saluran berita antarabangsa itu mendakwa berlaku penganiayaan terhadap pendatang tanpa dokumen semasa perintah kawalan pergerakan bagi mengekang Covid-19. – 23 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen