Rakyat Malaysia perlu bayar ujian saringan, kuarantin Covid-19


Alfian Z.M. Tahir

Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan perlu menanggung kos ujian Covid-19 dan tinggal di pusat kuarantin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2020.

RAKYAT Malaysia yang pulang dari luar negara akan perlu menanggung kos ujian Covid-19 dan tinggal di pusat kuarantin, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Ia susulan kerajaan menguatkuasakan semula kuarantin mandatori di pusat kuarantin ditetapkan bermula esok, selepas pada awalnya membenarkan rakyat yang baru pulang ke tanah air untuk menjalani kuarantin di rumah.

Warga asing memasuki negara ini sudah pun perlu menanggung sendiri kos berkenaan.

Ismail Sabri berkata keluarga yang pulang bersama akan dibenarkan duduk di bilik yang sama di pusat kuarantin.

“Rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air kini diwajibkan dikenakna kuarantin 14 hari, dan mereka akan perlu menanggung kos (tinggal di pusat ditetapkan), selain kos ujian saringan,” katanya pada sidang di bangunan Parlimen hari ini.

“Kerajaan membenarkan keluarga tinggal dalam satu bilik yang sama. Contohnya, suami dan isteri, bersama anak mereka di bawah usia 12 tahun, boleh tinggal dalam bilik yang sama.

“Namun, mereka perlu tandatangan perjanjian. Jika mereka didapati berjangkit, mereka perlu bersetuju untuk duduk dalam bilik yang sama.”

Putrajaya pada 7 Jun berhenti mengarahkan rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini untuk menjalani kuarantin di pusat ditetapkan jika ujian saringan koronavirus didapati negatif ketika tiba di tanah air.

Mereka sebaliknya diarahkan menjalani kuarantin dua minggu di rumah masing-masing, diberikan gelang tangan untuk dipakai dan dipantau menerusi aplikasi MySejahtera. – 23 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen