Restoran wajib patuh SOP Covid-19, kata Ismail Sabri


Alfian Z.M. Tahir

Tindakan akan diambil kepada pemilik restoran dan pelanggan yang ingkar SOP mengekang penularan Covid-19.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2020.

RESTORAN tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti langkah penjarakan sosial untuk mengekang penyebaran Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Orang ramai mula mengambil ringan penjarakan sosial di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang membenarkan makan di restoran dan keluar secara berkumpulan untuk makan, tambahnya.

“Kami mengenakan penjarakan sosial di restoran dan memberi beberapa kelonggaran seperti dua orang bagi satu meja, dan bahkan empat orang bagi satu meja, asalkan ada penjarakan.

“Tetapi kita dapati orang tidak mematuhinya. Mereka duduk lebih daripada empat orang di satu meja dan tiada penjarakan sosial.

“Ini boleh menyebabkan peningkatan kes Covid-19 dan sudah ada kluster restoran,” katanya pada sidang media di Parlimen berhubung PKPP, hari ini.

Beliau tidak menyebut nama restoran itu tetapi Kementerian Kesihatan baru-baru ini mengumumkan dua kes Covid-19 dikesan di sebuah restoran di Brickfields, Kuala Lumpur.

Pihak berkuasa sedang memeriksa semua restoran di seluruh negara, tambah Ismail Sabri.

“Tindakan boleh diambil terhadap pelanggan dan juga pemiliknya; kami bahkan boleh menutup restoran,” katanya. – 23 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen