Pilihan raya kecil DUN Slim 29 Ogos, umum SPR


Chan Kok Leong

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata pengundian awal ditetapkan pada 25 Ogos. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Julai, 2020.

PILIHAN raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri Slim di Perak akan diadakan pada 29 Ogos selepas penamaan calon pada 15 Ogos, umum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengundian awal ditetapkan pada 25 Ogos, kata Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom.

Katanya, SPR akan menguatkuasakan langkah-langkah pencegahan Covid-19 yang digunapakai dalam PRK DUN Chini di Pahang, baru-baru ini.

“Kempen PRK Slim akan menggunakan garis panduan Covid-19 yang telah diperbaiki sejak PRK Chini,” kata Azmi, pada sidang media selepas mesyuarat khas SPR di Putrajaya, hari ini.

Antara langkah itu termasuk penjarakan fizikal, penggunakan pelitup muka dan pencuci tangan serta pemeriksaan suhu badan, tambahnya.

“Semua prosedur ini akan dipakai semasa sesi taklimat SPR, penamaan calon, pengundian awal, hari mengundi, dan pengiraan undi,” kata Azmi.

PRK ini melibatkan 23, 094 pengundi  termasuk 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan 2 pengundi luar negeri.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia pada 15 Julai lalu.

Beliau dilaporkan rebah ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort dan dikejarkan ke Hospital Bentong, Pahang.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ketua Umno Tanjong Malim itu mendapat 8,327 undi dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Bersatu Mohd Amran Ibrahim (6,144) dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal (4,103).

Dalam PRU14, DUN Slim mempunyai 23,377 pengundi dengan 75% daripadanya Melayu, 10% Cina dan 13% India.

Sementara itu Pegawai Daerah Mualim Shamsul Redzuan Idris dilantik sebagai pegawai pengurus pilihan raya. Beliau akan dibantu empat orang pegawai.

Penamaan calon dan pengiraan undi akan dilangsungkan di Dewan Sri Tanjung, di Pejabat Daerah Tanjong Malim.

“SPR akan membentuk dua pasukan penguatkuasa bagi memastikan segala prosedur Covid-19 dipatuhi,” kata Azmi.

Katanya, 689 pegawai dilantik untuk mengendalikan PRK ini, yang akan melibatkan 13 pusat pengundian dengan 55 saluran. 

Kos PRK ini dianggarkan bernilai RM4.6 juta. – 23 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen