DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) patut jelaskan kenapa penjualan tanah di Taman Desa kepada pemaju dijual dengan harga yang terlampau rendah daripada harga pasaran, kata Ahli Parlimen DAP Teresa Kok.
Kok merujuk Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang menyatakan DBKL telah menjual sebidang tanah kepada Garuda Searah Sdn Bhd (GSSB) untuk membangunkan Residensi Desa Satumas (Rumah WIP) dengan nilai RM24.07 juta.
“Projek perumahan itu meliputi tanah seluas tiga hektar tanah utama. Kalau tanah itu dijual dengan harga RM24 juta, maksudnya setiap kaki persegi harganya lebih kurang RM74.
“Tapi, harga pasaran tanah di Taman Desa sebenarnya RM400 kaki persegi.
“Ini menunjukkan pemaju beli dengan harga sangat murah,” katanya dalam sidang media di hadapan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur hari ini.
Kok hadir bersama wakil penduduk Taman Desa, Edmund Teoh dan penduduk lain bagi melaporkan kepada SPRM isu penjualan tanah yang terlampau murah itu.
Projek pembangunan berdekatan bekas taman tema air Taman Desa di Lembah Desa itu meliputi tujuh blok dengan jumlah unit rumah sebanyak 3,002 unit.
Tambah Kok, Laporan Ketua Audit itu menunjukkan DBKL tidak menawarkan tender terhad kepada pemaju-pemaju, selain penjualan tanah itu selesai melalui tender secara terus tahun lalu.
“Dewan bandaraya tak tubuhkan jawatankuasa penilaian, malah kertas kerja penilaian pun tidak diterbitkan.
“Dewan bandaraya menyenarai pendek cadangan yang diterima itu kepada dua.
“GSSB syarikat baharu yang ditubuhkan pada 11 Mac, 2015. Laporan audit tak boleh tentukan kalau syarikat ini ada kapasiti untuk membangunkan perumahan sebab syarikat ini didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebagai pengimport dan pengeksport pelbagai jenis barangan.”
Kok berkata, DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan patut menjelaskan kenapa harga tanah ini terlampau murah.
“Laporan audir jelas menunjukkan ada penyelewengan oleh Dewan Bandaraya.
“SPRM patut siasat, memandangkan dewan bandaraya telah meluluskan banyak projek perumahan di Kuala Lumpur tanpa mengikut Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang belum diwartakan,” katanya.
Dalam pada itu, Teoh berkata, penduduk berdekatan juga risau dengan pembangunan berkepadatan tinggi. Oleh itu beliau turut membuat laporan kepada SPRM berdasarkan Laporan Ketua Audit itu.
“SPRM dah terima laporan saya, yang mana mereka akan serahkan kepada SPRM cawangan Putrajaya.
“Saya akan tunggu dua minggu untuk laporan itu diputuskan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor akan menjawab kepada SPRM dan ketua audit berhubung perkara itu.
“Ini adalah tender terbuka yang dapat kepada pembida tertinggi (Garuda Searah). Ianya berdasarkan pemilihan, dan kami pilih hanya yang terbaik.
“Tujuh syarikat telah sertai (proses bida tender) dan ia dapat pada syarikat yang ada rekod cemerlang,” kata Amin kepada The Malaysian Insight.
Amin berkata, pemaju tersebut berselari dengan syarikat-syarikat besar dan dikenali sebagai salah satu syarikat yang mempunyai pekerja yang pantas bekerja.
“Pemaju telah menyiapkan 15,000 unit Rumah WIP berbulan lebih awal dari tarkh asal.
“Prestasi mereka terbaik, malah berjaya siapkan unit-unit itu tujuh buan lebih awal dari jadual.” – 6 Disember, 2017.
Komen