Guan Eng sambung keterangan di SPRM pada Sabtu


Kalidevi Mogan Kumarappa

Lim Guan Eng akan kembali ke SPRM pada Sabtu untuk menyambung keterangannya berkaitan dakwaan rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2020.

LIM Guan Eng akan kembali ke SPRM Sabtu ini untuk menyambung keterangannya berkaitan siasatan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Beliau selesai memberi keterangan hari ini dari jam 1.30 sehingga 6 petang tadi.

Sumber SPRM, bagaimanapun, mengesahkan Lim akan datang sekali lagi pada Sabtu.

“Beliau sudah selesai dirakam keterangan untuk hari ini namun perlu kembali pada Sabtu ini untuk disambung ambil keterangannya.

“SPRM menyiasat kes terowong itu selepas mendapat bukti baharu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hadir sama bersama Lim adalah peguambelanya RSN Rayer dan Gobind Singh Deo.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu disiasat selepas SPRM mengambil keterangan penggantinya, Chow Kon Yeow pada awal bulan ini.

Tiga anggota exco kerajaan Pulau Pinang juga disiasat berkaitan dengan projek pembinaan terowong RM6.3 bilion itu.

Tiga yang terlibat adalah Jagdeep Singh Deo (kerajaan tempatan), Chong Eng (pembangunan wanita dan keluarga) dan Phee Boon Poh (kebajikan dan masyarakat).

Pada akhir Jun, bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew Gim Eam ditahan reman selama empat hari.

Pada masa sama, SPRM mengambil keterangan seorang lagi exco, Lim Hock Seng (kerja raya, utiliti dan pengangkutan) dan bekas exco Abdul Malik Abul Kassim (hal ehwal agama Islam).

Tindakan itu diambil selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengumumkan kertas siasatan projek pembinaan itu dalam fasa akhir.

Dakwaan kes rasuah itu dibangkitkan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, dalam siri artikel tahun lalu.

Dakwanya, kertas siasatan SPRM menunjukkan Lim yang ketika itu menteri kewangan dan empat exco kerajaan Pulau Pinang terbabit rasuah berkaitan projek tersebut.

Lim bagaimanapun menafikan dakwaan itu, menyifatkannya sebagai penipuan dan mengarut.

Tegasnya, projek terowong dasar laut berkenaan dibuat menerusi proses tender terbuka dan tidak mungkin wujud unsur rasuah dalam pelaksanaannya.

SPRM dalam kenyataan pada Mac tahun lalu mengesahkan membuka enam kertas siasatan berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan itu, SPRM memaklumkan, kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017, manakala lima lagi dibuka pada Januari 2018.

Lima kertas siasatan sudah selesai dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya, tiga dikembalikan untuk siasatan lanjut dan dua lagi masih dalam kajian. – 22 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen