40 jemaah tabligh terkandas di India pulang hari ini, kata Ismail


Ravin Palanisamy

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 40 warganegara Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh di India dan terkandas di sana sejak Mac akan pulang hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2020.

SERAMAI 40 warganegara Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh di India dan terkandas di sana sejak Mac akan pulang hari ini, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kesemua mereka adalah mereka yang gagal menaiki penerbangan pada 17 Julai.

“40 rakyat Malaysia akan pulang melalui penerbangan komersial Air India Express.

“Mereka adalah ahli tabligh yang tidak berjaya pulang ke Malaysia pada 17 Julai,” kata Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini.

Mengambil kira faktor risiko mereka Ismail berkata, kesemua mereka akan ditempatkan di tempat kuarantin selama dua minggu di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Bangi, Selangor.

Beliau berkata pusat itu akan diawasi oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan dan akan dijaga oleh polis.

“Pelawat termasuk ahli keluarga tidak dibenarkan melawat sepanjang tempoh kuarantin wajib ini,” katanya.

Menteri Kanan itu berkata seramai 389 warganegara sudah kembali ke Malaysia semalam tetapi tidak ada yang diuji positif Covid-19.

Kesemua mereka diarahkan untuk dikuarantin di rumah. 

Selain itu Menteri Pertahanan juga berkata polis menahan 75 individu kerana melanggar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Kesemua mereka ditahan kerana terlibat dalam aktiviti melibatkan kehadiran yang ramai.

Daripada jumlah itu seramai tiga orang direman dan 72 dikenakan kompaun.

Mengenai operasi Ops Benteng beliau berkata pihak berkuasa sudah memasang 68 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 31,985 kenderaan.

Tiga warga asing ditahan kerana kesalahan imigresen, katanya.

Selain itu Ismail berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memeriksa 57 tapak pembinaan di seluruh Malaysia pada 21 Julai dan mendapati 49 tapak pembinaan mematuhi SOP kerajaan sementara enam lagi gagal dan dua lagi tidak beroperasi.

Jumlah tapak pembinaan yang mematuhi SOP setakat ini adalah 3,321 sementara 555 tidak mengikuti dan diberi amaran.

Sebanyak 19 tapak pembinaan setakat ini diperintahkan untuk ditutup kerana tidak mematuhi SOP.

Mengenai barang keperluan penting Ismail berkata bekalan mencukupi dan rakyat Malaysia tidak perlu bimbang.

“Berdasarkan pemantauan yang dilakukan terhadap 12 jenis barang di 718 premis perniagaan termasuk peruncit (515), pemborong (173) dan pengeluar (30),” katanya.

Malah katanya pasukan penguatkuasa KPDNHEP sudah melakukan 1,478 pemeriksaan pematuhan PKPP dan mendapati 1,462 premis mematuhi SOP sementara 16 diberi nasihat. – 22 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen