Nazri Aziz gesa pilihan raya bertanding atas lambang parti, bukan individu


Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ia mampu meghalang lompat parti dan rasuah dalam kalangan ahli Parlimen.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2020.

KERAJAAN Perikatan Nasional digesa untuk meminda undang-undang yang membolehkan pilihan raya berdasarkan lambang parti politik bagi menghentikan melompat parti dan mencegah rasuah di kalangan ahli Parlimen, kata bekas menteri Barisan Nasional Mohamed Nazri Abdul Aziz.

“Ini bukan sahaja boleh menghalang daripada runtuhnya parti, ia juga boleh menghalang rasuah,” kata Nazri ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

“Situasi sekarang ialah 111 di sebelah sini dan 109 di sebelah sana jadi mungkin dua atau tiga ahli Parlimen boleh cari duit. Mereka terbuka untuk dirasuahkan.

“Tetapi dengan bertanding logo parti, kita tidak boleh jual diri kita,” katanya yang juga ahli Parlimen Padang Rengas.

Beliau bagaimanapun menentang sebarang perubahan yang menghalang individu daripada menukar parti kerana ia melanggar hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang kerajaan boleh buat ialah untuk kita pinda akta pilihan raya untuk pilihan raya berdasarkan parti list (lambang parti).

“Di bawah sistem party list, sebagai contoh BN menang Padang Rengas tetapi saya tidak bertanding atas individu. Dan selepas perti menang ia boleh putuskan siapa ahli Parlimen.

“Bila saya keluar daripada BN dan tidak jadi menteri, maka parti saya akan lantik orang yang akan jadi ahli Parlimen,” kata Nazri.

Nazri berkata demikian menjawab soalan Ngeh Koo Ham (Beruas-PH) yang memberi reaksi apabila bekas menteri itu mengatakan Perikatan merupakan “kerajaan rakyat” yang mana ia ditubuhkan selepas Mohamed Azmin Ali dan 10 ahli Parlimen keluar parti dan tindakan Bersatu keluar Pakatan Harapan pada Februari.

Turut menyokong Nazri, Mohamed Sabu (Kota Raja-PH) yang menambah: “Kerajaan Perikatan ditubuhkan daripada pelompat dan bukan kerajaan rakyat”. – 22 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen