Pembangkang mahu Parlimen lebih tegas pada ahli rasis, seksis


Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto cadang ahli Parlimen dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan dikenakan denda RM500 jika bersalah mengeluarkan kenyataan seksis dan rasis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2020.

PEMBANGKANG mencadangkan Peraturan Tetap Mesyuarat Dewan Rakyat dipinda untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan seksis dan rasis.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata cadangan itu dikemukakan secara rasmi melalui surat kepada Speaker Azhar Azizan Harun dan berharap tindakan segera dapat dilakukan.

Beliau berkata mencadangkan ahli Parlimen terus dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan dikenakan denda RM500 sekiranya didapati bersalah melakukan kesalahan tersebut.

Ahli Parlimen DAP itu mencadangkan demikian melalui pindaan Peraturan Mesyuarat 36 (13) dan Peraturan Mesyuarat 36 (14).

“Saya mencadangkan tambahan baru ini kerana Peraturan 80(1) dan Peraturan 80A terlalu umum dan tidak dapat mencegah ahli Dewan daripada melanggar Peraturan 36 (4)  dan Peraturan 36(10)  dengan menjamin hukuman serius,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Beliau menuntut demikian untuk menuntut hukuman ke atas kenyataan rasis yang disebut ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahman sewaktu sidang Dewan Isnin lalu.

Wakil rakyat BN itu antara lain menyebut “gelap, tak nampak” apabila Kasthuri bangun untuk berucap.

Perkara itu berlaku ketika Kasturi membangkitkan mengenai jumlah ahli Parlimen wanita yang kurang bagi menggantikan anggota jawatankuasa pemilihan parlimen. – 22 Julai, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen