KKM dan polis cari 63 individu gagal buat ujian kedua Covid-19


Noel Achariam

KKM tidak dapat mengesan 63 individu yang perlu menjalani ujian kedua Covid-19 dan akan bekerjasama dengan polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan sedang mengesan 63 individu yang menjalani kuarantin rumah tetapi tidak dapat dihubungi selepas itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua individu berkenaan perlu menjalani ujian saringan kedua Covid-19 tetapi tidak berbuat demikian.

Katanya, KKM akan bekerjasama dengan polis untuk mengesan semua individu terlibat.

“Apa yang KKM akan laksanakan adalah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu untuk mereka yang berkuarantin di rumah.

“Polis akan jalankan pemantauan, akan ke rumah (mereka), sama ada mereka patuh pada SOP atau tidak.

“Dan kepada 63 individu ini (yang tak dapat dikesan), kita akan mengesan mereka iaitu menggunakan kepakaran pihak polis,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham juga menyuarakan kebimbangan dengan sikap orang ramai yang semakin lupa dan alpa dalam pencegahan Covid-19 sehingga menyebabkan jumlah kes kembali naik.

Malah, menurutnya mereka yang menjalani kuarantin di rumah juga gagal mematuhi SOP ditetapkan.

“Isunya di sini bukan kuarantin di rumah tetapi kegagalan mematuhi SOP. Mereka sepatutnya berada di rumah, tetapi mereka bercampur gaul dengan ahli keluarga dan jika mereka positif, mereka boleh menjangkiti orang lain,” katanya.

Awal hari ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata Putrajaya melaksanakan semula kuarantin wajib kepada semua rakyat yang baharu pulang dari luar negara berkuatkuasa Jumat.

Katanya, keputusan itu terpaksa diambil kerana wujud lonjakan kes Covid-19 sejak minggu lepas yang kebanyakannya adalah kes import. – 21 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen