Dr Noor Hisham bimbang dengan 15 kes baharu Covid-19


Noel Achariam

WABAK Covid-19 kini membimbangkan kerana negara melaporkan 15 kes baharu dalam tempoh 24 jam, 11 daripadanya adalah kes jangkitan tempatan dan empat lagi kes import, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, kes baharu itu menaikkan jumlah keseluruhan kes kepada 8,815, dan terdapat 130 kes aktif yang sedang dirawat.

“Ia membimbangkan kerana angka naik, terutamanya jangkitan tempatan.

“Selain itu, pada 9 Julai, kes aktif jatuh kepada 63, tetapi sekarang sudah capai 130 kes,” katanya.

Daripada 11 kes jangkitan tempatan, 10 kes melibatkan warga Malaysia sementara satu lagi kes melibatkan warga asing. 10 kes warganegara itu terdiri daripada lapan di Sarawak dan masing-masing satu kes di Selangor dan Sabah. 

“Daripada 11 kes penularan di dalam negara, 10 adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan kemasukan baharu ke Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Semuja, Sarawak,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Katanya, lonjakan kes jangkitan tempatan berpunca dari satu kluster baharu di hospital di Kuching, Sarawak, dinamakan sebagai “Kluster Sentosa”.

Kluster itu menyumbang lima kes jangkitan tempatan dilaporkan hari ini. 

Tambahnya, satu lagi kes baharu adalah dari kluster pusat perubatan di Kuching, satu dari kluster Stutong dan satu lagi melibatkan penjaga kepada pesakit Covid-19 yang dirawat di sebuah pusat perubatan.

Satu-satunya kes warga asing jangkitan tempatan pula di kesan di Depot Imigresen Semuja.

Pada masa kini, terdapat 130 pesakit menerima rawatan, empat dalam ICU dan seorang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Tujuh kes lagi pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan didiscaj ialah sebanyak 8,562 kes atau 97.1% daripada jumlah keseluruhan jangkitan

Kata Dr Noor Hisham lagi, tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah korban wabak kekal 123 orang.

Perkembangan terkini kewujudan kluster baharu dan lonjakan jangkitan tempatan adalah bukti masyarakat mula leka dan alpa serta mengabaikan SOP kesihatan bagi mengelak penularan Covid-19, katanya lagi. 

“Ini menunjukkan masyarakat sememangnya telah mulai alpa dan leka, lalu mula menghindari prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” tegasnya. – 21 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen