Rumah warga emas di Kluang dikenakan PKP pentadbiran, kata menteri


Ravin Palanisamy

MKN melaksanakan PKP pentadbiran di sebuah rumah warga emas di Kluang, Johor, bagi membolehkan kakitangannya keluar masuk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2020.

SELEPAS satu kluster baharu dikesan di sebuah rumah orang tua di Kluang Johor, Putrajaya meletakkan pusat itu di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) pentadbiran, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan itu berkata, berbanding melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kawasan itu, PKP pentadbiran akan membolehkan pekerjanya keluar masuk dari kemudahan tersebut.

“Kami tidak melaksanakan PKPD tetapi sekatan PKP pentadbiran di pusat ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam Kementerian Kesihatan berkata sebanyak 14 jangkitan dikesan di rumah warga emas di Kluang, susulan kematian seorang penghuninya baru-baru ini.

Sebanyak 39 orang disaring, dengan 14 diuji positif dan 18 negatif, sementara tujuh lagi sedang menunggu keputusan mereka.

Ismail Sabri berkata kawalan pentadbiran itu akan membolehkan pekerja yang tinggal di luar pusat untuk terus datang bekerja tetapi berkata mereka akan menjalani ujian swab.

“Prosedur biasa akan diikuti di mana ujian swab akan dilakukan di pusat, termasuk pekerja yang mungkin masuk dan keluar dari pusat.

“Jika kita mengisytiharkan PKPD, maka pekerja yang tinggal di luar tidak dapat masuk ke rumah orang tua,” katanya.

Beliau juga berkata dalam tempoh ini, pengunjung dan NGO tidak akan dibenarkan memasuki rumah orang tua selama 14 hari. – 21 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen