Polis siasat individu conteng mural wajah Agong, pemimpin negara


Diyana Ibrahim

Mural memaparkan wajah beberapa pemimpin negara adalah hasil karya tiga anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27 tahun. – Gambar Facebook, 21 Julai, 2020.

POLIS masih menyiasat pelaku dan motif perbuatan vandalisme ke atas mural memaparkan wajah beberapa pemimpin negara yang mencetuskan kontroversi, kata menteri dalam negeri.

Hamzah Zainuddin berkata polis juga menyiasat latar belakang pelaku dan sama ada wujud unsur jenayah di sebalik pelakuan vandalisme ke atas mural di Shah Alam itu.

“Sehingga kita dapat keputusan barulah kita umumkan. Kalau orang biasa yang buat conteng-conteng ini, masih dikira satu kesalahan (vandalisme),” katanya kepada wartawan.

Beliau mengulas mengenai contengan dilakukan ke atas mural di satu kawasan di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 di Shah Alam.

Polis semalam berkata sedang mengenal pasti dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan vandalisme

Siasatan berkaitan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 504/427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mural itu antara lain memaparkan wajah Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan wajah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut diconteng, mural wajah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Mural itu adalah hasil karya tiga anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27 tahun. – 21 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen