Tekong seludup warga Rohingya kena jebak SPRM


Kalidevi Mogan Kumarappa

AGENSI antirasuah menahan dua lelaki pemegang kad pelarian yang disyaki terlibat dengan kes penyeludupan warga Rohingya ke negara ini melalui Langkawi.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata suspek berjaya diperangkap apabila cuba merasuah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Suspek lelaki berusia 29 dan 35 tahun itu disyaki membayar rasuah RM25,000 bagi tujuan melepaskan 25 orang pendatang tanpa izin (Pati) dalam satu cubaan menyeludup, kata sumber.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, suspek merupakan tekong yang terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia di daerah Langkawi, khususnya melibatkan bangsa Rohingya.

“Mereka ditangkap pada jam 3.35 pagi tadi dalam satu perangkap ketika cuba menyogok pegawai penguatkuasa untuk melepaskan 25 pendatang Rohingya yang telah mendarat dan ditahan di Langkawi,” kata sumber.

Jelasnya, seramai 25 orang etnik Rohingya itu baru mendarat semalam dan ditahan di rumah transit sekitar Padang Matsirat, Pulau Langkawi.

Dua individu yang ditahan itu pula merupakan warga Myanmar pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Kedua-duanya didapati sudah lama menetap di Malaysia dan fasih berbahasa Melayu.

Tambahnya, SPRM menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kedua-dua akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah, katanya.

Menurut sumber, SPRM akan menyerahkan kedua-dua suspek kepada polis selepas selesai siasatan bagi diambil tindakan di bawah Akta Pemerdangan Manusia.

Pengarah Siasatan SPRM Norazlan Mohd Razali mengesahkan tangkapan dan menyatakan siasatan sedang diteruskan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Pada Jun, polis menumpaskan sindiket diketuai oleh seorang lelaki Rohingya yang fasih berbahasa Melayu dan bertanggungjawab ke atas penyeludupan ratusan etnik Rohingya ke pulau itu.

Ia termasuk 269 orang yang mendarat di pulau yang hampir dengan sempadan Thailand dan Myanmar itu pada 8 Jun lepas.

Dianggarkan seramai sejuta etnik Rohingya melarikan diri dari wilayah Rakhine di Myanmar sedang diberi perlindungan di kem pelarian di dan sekitar daerah Cox’s Bazar di Bangladesh.

Dari Bangladesh, ramai etnik Rohingya yang cuba melarikan ke negara Asia Tenggara terutamanya Malaysia dengan menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia. – 21 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen