Pengurus kanan GLC carigali petroleum ditahan kes rasuah


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menurut sumber SPRM suspek yang berusia 41 tahun itu ditahan di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya kira-kira jam 5 petang semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2020.

SEORANG pengurus kanan sebuah syarikat carigali petroleum berkaitan kerajaan (GLC) ditahan reman lima hari kerana disyaki terlibat menerima rasuah.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), suspek yang berusia 41 tahun itu ditahan di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya kira-kira jam 5 petang semalam.

“Suspek diamanahkan untuk menguruskan projek kerja berkaitan carigali minyak telah mengambil kesempatan dengan meminta wang rasuah sebagai balasan memberikan kontrak kerja carigali minyak di Terengganu.

“Dia dipercayai menerima wang rasuah dalam lingkungan RM300,000 bagi kontrak kerja carigali minyak di Terengganu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini dan mahkamah membenarkan permohonan reman selama lima hari.

Pengarah Siasatan SPRM Norazlan Mohd Razali mengesahkan tangkapan dan menyatakan siasatan sedang diteruskan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009. – 21 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen