Antara Langkah Sheraton dan Skenario Semut Merah (bahagian 1)


Hasmi Hashim

DI SINI, pada hujung Februari lalu, kita kenal “Langkah Sheraton”. Langkah berkenaan adalah projek mengkudeta kerajaan Pakatan Harapan (PH): sebuah gabungan dan kerajaan yang sah dengan mendapat mandat rakyat di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Terdahulu di antara 2000-2001, ada satu langkah untuk menggulingkan Gus Dur. Di Indonesia, langkah berkenaan kemudiannya terbongkar. Dikenali sebagai “Skenario Semut Merah”.

Keduanya, antara “Semut Merah” (untuk menjatuhkan Gus Dus) dan “Sheraton” (untuk menjatuhkan PH dan menghalang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri) sebenarnya banyak ciri persamaan. Ada kemiripan.

Semua cerita bermula apabila Gus Dur itu payah dan tidak boleh diajak bertolak ansur. Terutama dengan sang koruptor.

Dia juga “liar”, tidak ikut telunjuk pengatur papan catur politik – beberapa pihak yang bersetuju mengangkat Gus Dur sebagai calon poros tengah – yang ketika Gus Dur diangkat, yakin sang presiden boleh dikawal, diatur dan disuruh-suruh.

Cara politik sebegitu, persis aturan main di dalam dunia mafia.

Di banyak negara, mafia tidak hanya menjalankan kegiatan ekonomi gelap, tapi pada masa sama juga memancing dan berbaik-baik dengan mereka yang berkuasa. Caranya mudah, dengan memberikan sogokan – wang, seks, pangkat, jaminan keselamatan dan sokongan – kepada politikus.

Semua yang diberi kepada politikus yang berkuasa adalah yang sebenarnya juga apa dimahukan oleh ketua-ketua kumpulan mafia.

Kalau kita pernah menonton filem “Hanyut” arahan U-Wei Haji Saari, kita akan lihat watak peniaga Arab yang memberi wang kepada sesiapa saja – termasuk sultan. Pedagang Arab yang diberi nama Sayed Abdullah itu juga akan membuat apa saja, termasuk menyeludup belerang yang boleh mendapat keuntungan yang besar. Pokoknya untung dan buat kekayaan.

Sebelum Hanyut ditayangkan di negara ini pada 2016, filem berkenaan dua tahun sebelumnya ditayangkan di Indonesia. Tajuknya ditukar, iaitu “Gunung Emas Almayer”. Filem berkenaan tidak lain adalah adaptasi daripada novel pengarang Inggeris, Joseph Conrad yang bertajuk “Almayer’s Folly” (1895).

Mencampurkan duit daripada perniagaan yang halal dengan duit daripada perniagaan yang tidak dibenarkan adalah ciri-ciri asas mafia. Walaupun Sayed Abdullah si Arab di dalam Hanyut tidak memasang pembunuh untuk membunuh musuh-musuhnya, tetapi dia memasang mata-mata untuk mendapatkan maklumat. Mata-mata itu hanyalah seorang gadis Jawa, penjual kuih.

Bagi penguasa dan orang politik yang jahat, duit dari mafia antara sumber pendapatan untuk diri dan untuk kepentingan menjaga kuasa. Mungkin juga apa yang hari ini disebut sebagai “untuk parti”.

Ada cerita seorang bekas kepala mafia di Amerika Syarikat, Michael Franzese misalnya yang mengesahkan mafia membeli golongan penguasa di semua peringkat. Dari yang paling bawah sampai yang berada di White House, Washington.

Franzese yang berasal dari keluarga penjenayah yang dikenali sebagai Keluarga Colombo menceritakan banyak hal dunia mafia apabila dia meninggalkan kegiatannya yang berpusat di New York, pada 2010. Kata Franzese dalam satu temu bual, membeli politikus yang berkuasa adalah satu daripada kemestian.

Apabila, misalnya Amien Rais meminta Gus Dur melantik orang pilihannya dari Parti Amanat Nasional (PAN) menjadi menteri kewangan, Gus Dur menolak. Amien jadi bingung. Sekali gus marah. Di situ antara bibit awal untuk membalas dendam.

Amien antara tokoh utama yang muncul di era Reformasi. Dia memperjuangkan Reformasi.

Lama kelamaan, Amien juga dikatakan bukan sahaja menikam Gus Dur dari belakang, tetapi telah menjadi pengkhianat Reformasi. Selepas tumbangnya Soeharto, Amien bekerjasama dengan ramai watak penjahat dari rejim Seoharto itu sendiri.

Di Indonesia, kuasa tertinggi yang boleh menggulingkan seseorang presiden bukan raja, tetapi parlimen, atau yang dikenali sebagai Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). Oleh itu, konspirasi tahap tertinggi untuk melengser Gus Dur tidaklah dilakukan di dalam istana, sebaliknya dilaksanakan di DPR.

Dari 1999-2004, Amien adalah ketua Majlis Perwakilan Rakyat (MPR). Bersama ketua DPR Akbar Tanjung, yang juga salah seorang konspirator utama dalam skrip yang sama, Amien sangat berperanan di parlimen untuk menjatuhkan kawannya, Gus Dur – meski Amien dan partinya, PAN antara pendukung awal Gus Dur sebagai presiden selepas Pemilihan Presiden (Pemilu), 1999.

Gus Dur pernah menyebutkan dalam satu temu bual bahawa antara perancang yang mahu menggulingkannya adalah Amien. Mengapa? “Tanyalah Amien,” jawab Gus Dur.

Namun sebelum sampai ke dalam DPR, ada kerja-kerja awal dan di lapangan yang perlu dipersiapkan. Penjahat dan mereka yang berkomplot kesemuanya ada tujuh orang.

Kita juga boleh menduga, pemain utama dalam usaha menjayakan Langkah Sheraton juga lebih kurang jumlah pemain yang sama.

Ulah berkenaan baru saja terbongkar lima-enam bulan lepas – selepas 10 tahun kematian Gus Dur – dengan terbitnya sebuah buku penyiasatan berjudul “Menjerat Gus Dur”, oleh Virdika Rizky Utama.

Rizky menceritakan, suatu hari pada Oktober 2017, dia mundar-mandir di kawasan ibu pejabat parti Golkar kerana ada majlis di sana yang perlu dibuat liputan. Rizky seorang wartawan, yang kebetulan juga sedang menyiapkan sebuah buku sebelumnya yang juga terkait Gus Dur bertajuk “Demokrasi dan Toleransi Dalam Represi Order Baru”.

Ketika itu, kantor Golkar baru saja melakukan kerjkerja pengubahsuaian. Banyak barang dilonggok-longgok untuk dibuang. Termasuk kertas-kertas yang hendak ditimbang kilo – oleh pekerja pembersihan, kertas yang tiada makna dan nilai apa-apa.

Barangkali dengan jiwa seorang wartawan, kertas yang bertimbun menarik hati Rizky.

Dia pun mendekat dan meminta izin untuk membelek-belek. Pekerja pembersihan membenarkan.

Di situlah beberapa dokumen secara tidak sengaja ditemukan, termasuk apa yang disebut sebagai “laporan kemajuan Skenario Semut Merah” beserta salinan surat dalang utama yang ditulis dan dikirim kepada pemain yang lain.

Kepala komplot adalah Fuad Bawarzier, mantan menteri kewangan di era Seoharto. Orang ini jugalah yang dicadangkan kepada Gus Dur, oleh Amien, agar dilantik sebagai menteri kewangan. Fuad di era Soeharto adalah orang Golkar. Apabila berlaku Reformasi 1998, dia lompat parti. Dia menyertai PAN – partinya Amien.

Langkah Semut Merah, selain dijayakan secara tersusun, turut melibatkan biaya besar. Dikatakan sejumlah 4 triliun rupiah digunakan. Kalau waktu itu 100 rupiah lebih kurang dalam RM2.50, bermakna wang yang dicurah dalam langkah Semut Merah paling kurang berjumlah RM100 juta.

Ini bermakna, ada kepentingan lebih besar yang hendak diselamatkan dengan gugurnya Gus Dur. 4 triliun rupiah jelas terlalu kecil berbanding entah berapa jumlah wang, syarikat dan perniagaan yang hendak diselamatkan.

Sikap tegas Gus Dur mengancam kepentingan beberapa orang yang menjadi kaya-raya sewaktu 32 tahun pemerintahan Seoharto. Kaya-rayanya mereka adalah dengan jalan kotor – macam kisah mafia yang disentuh di awal tulisan ini. Mungkin kita di Malaysia tidak sedar, Fuad ketika menjadi menteri kewangan di era Seoharto pernah mengecualikan cukai besar ke atas perusahaan kereta anak Seoharto.

Alasan yang diberikan waktu itu ialah, agar projek kereta nasional Tommy Seoharto boleh berjaya. Kejayaan projek itu konon akan menjadikan rakyat Indonesia boleh membeli kereta buatan Indonesia dengan harga jauh lebih murah ketimbang mobil luar yang diimport.

Ternyata, sampai sekarang, projek kereta nasional Indonesia hanya alasan untuk mencangkul dana negara. Sebiji kereta pun tidak dapat dikeluarkan dari kilang Tommy.

Apa yang mustahak, Fuad dari Kabinet Soeharto menyelamatkan Tommy, si anak Soeharto. Kekayaan negara berlingkar dalam kalangan orang yang itu, itu juga. Reformasi diresapi oleh unsur yang dahulunya merupakan musuh Reformasi.

Mereka cuba merampas perjuangan itu – menjadi milik mereka. Tidak kiralah dengan cara apa saja. Termasuk membayar mereka yang dulunya berjuang untuk Reformasi, seperti Amien, yang bakal kekal dikenang sebagai pengkhianat.

Kedua belah mata Gus Dur pelan-pelan menjadi buta akibat dua kali terkena strok. Tapi, buta matanya apakah membuatkan Gus Dur benar-benar tidak dapat melihat apa-apa? – 21 Julai, 2020.

(Bersambung)

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen