Tanaman 'bersih udara' dapat sambutan, nurseri tak menang tangan


Sheridan Mahavera

Monstera Deliciosa, antara tumbuhan yang mendapat permintaan tinggi, dipercayai dapat membersihkan udara dalam rumah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Julai, 2020.

PENGUSAHA nurseri tidak menang tangan sejak kajian agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) mendedahkan terdapat tumbuhan tertentu yang boleh membersihkan udara dalam rumah, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19.

Tanaman berdaun tebal dan keras seperti lidah jin atau nama saintifiknya Sansevieria Trifasciata, Ficus Lyrata atau fiddle leaf fig, dan Monstera Deliciosa mendapat permintaan tinggi di nurseri, termasuk di Katsura Garden.

Pemiliknya, David Lee, berkata permintaan terhadap pokok yang dipercayai dapat menapis udara kotor membantunya menampung kerugian selepas nurserinya terpaksa ditutup selama lapan minggu susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

“Semasa kami mula buka semula perniagaan selepas PKP, semua pokok Monstera Deliciosa di nurseri kami laku,” kata Lee sambil menunjukkan tumbuhan hijau berdaun lebar dan berlubang, yang juga dikenali dengan nama “Swiss Cheese Plant”.  

“Orang ramai tak berhenti datang ke kedai kami dan bertanyakan pokok ini selepas dapat tahu ia boleh bersihkan udara. Permintaan bagi Ficus Lyrata dan lidah jin juga tinggi atas sebab yang sama.”

Bimbang virus Covid-19 mudah tersebar di dalam rumah juga mendorong permintaan tinggi bagi tumbuhan jenis ini, tambah Lee.

Selain itu, ramai yang membeli tumbuhan tidak berbunga ini sejak banyak syarikat memberi pilihan kepada pekerja untuk bekerja dari rumah.

Menurut Lee, ada pelanggan yang membeli secara borong kemudian menjualnya semula dalam talian.

“Ada yang datang dari Johor dan Pulau Pinang untuk beli secara borong kerana nurseri di tempat mereka kehabisan stok.

“Bukan kami sahaja, banyak nurseri lain pun kehabisan stok Monstera Deliciosa.”

Lidah jin atau nama saintifiknya Sansevieria Trifasciata. – Gambar Facebook, 24 Julai, 2020.

Katsura Garden Centre yang terletak di Tropicana, Petaling Jaya itu baru sahaja menambah stok monstera dan pokok fiddle dari kebun mereka.

Nurseri, kedai bunga dan kedai menjual peralatan kebun dibenarkan beroperasi semula mulai 12 Mei dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Jualan sebelum PKP turun sedikit tetapi bertambah baik sejak boleh berniaga semula. Jadi masih ada pendapatan selepas lama tutup,” kata Lee.

Selain tanaman dalam rumah, Katsura Garden juga menjual pasu seramik dengan harga kompetetif kerana ia diimport terus dari China.

“Sekurang-kurangnya kami dapat tampung balik kerugian,” ujarnya yang mempunyai 15 pekerja.

Kajian Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (Nasa) pada 1989 mengenai tumbuhan yang berupaya membersihkan udara di angkasa lepas mendapati terdapat beberapa jenis yang berkesan menapis gas beracun seperti benzena dan formaldehid.

Lidah jin, Monstera Deliciosa dan Ficus Lyrata adalah antara pokok yang mempunyai fungsi tersebut.

Selain Katsura Garden, nurseri Sam of Weng Thye Brothers di sebelahnya juga menerima permintaan tinggi terhadap tanaman ini sejak beroperasi semula.

Sebelum pandemik Covid-19 dan PKP, hasil jualan tanaman dalam rumah naik mendadak sehingga 70%. 

“Orang ramai sekarang prihatin mengenai kualiti udara, jadi kita boleh lihat banyak permintaan terhadap tanaman dalam rumah.” – 24 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen