Geng Tebuk tumpas, 2 lelaki Vietnam ditahan 


POLIS menumpaskan ‘Geng Tebuk’ dianggotai warga Vietnam yang terlibat sekurang-kurangnya enam kes pecah pasar raya dan kedai emas di daerah Seberang Perai Utara (SPU) membabitkan kerugian hampir RM1 juta selepas menahan dua lelaki di Taman Teratai Indah, Butterworth pada 15 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata sepasukan polis telah mengesan sebuah kereta dinaiki dua lelaki Vietnam berumur 33 dan 38 tahun itu hasil risikan dan intipan dijalankan sejak seminggu lepas di kawasan Jalan Raja Uda, di Bukit Mertajam pada 12.15 tengah malam sebelum bertindak mengekori kenderaan jenis Proton Saga itu.

“Apabila sampai di hadapan sebuah rumah di Taman Teratai Indah, kereta itu berhenti dan pasukan polis yang mengekori bertindak menghampiri kenderaan tersebut. Sebaik memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, dua lelaki itu terus melarikan diri namun berjaya ditangkap tidak jauh dari lokasi itu,” katanya pada sidang media di Bukit Mertajam hari ini.

Katanya, pemeriksaan awal di dalam kereta dinaiki dua lelaki itu menemukan pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk memecah masuk pasar raya antaranya mesin pengisar, mesin pencanai, pemutar skru, pemotong kabel, spanar boleh laras dan pedang yang digunakan untuk pertahankan diri jika terserempak dengan sesiapa ketika melakukan jenayah.

Beliau berkata polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah disewa dua lelaki itu di kawasan Mak Mandin dan menjumpai pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan mereka pecah pasar raya antaranya pakaian, peralatan elektrik, kasut serta sejumlah wang tunai dan resit penghantaran duit ke luar negara.

“Modus operandi mereka adalah melakukan pecah masuk pada waktu malam dengan mematikan penggera yang terdapat di dalam premis sebelum melarikan wang tunai serta barangan berharga. Kes pecah kedai emas di Mak Mandin yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari rumah mereka, suspek melarikan barangan kemas serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM600,000.

“Terbaharu, geng tersebut memecah masuk dua pasar raya di Teluk Air Tawar pada Selasa lalu membabitkan kerugian RM50,000. Secara keseluruhannya, enam kes itu membabitkan kerugian sebanyak hampir RM1 juta dan semua wang tersebut dihantar pulang kepada keluarga (mereka) di Vietnam,” katanya.

Noorzainy berkata siasatan juga mendapati dua lelaki yang bekerja sebagai pemotong khinzir di Mak Mandin itu berada di negara ini sejak tiga tahun lepas dengan menggunakan pas lawatan sosial malah pemeriksaan pasport mereka juga mendapati ia palsu.

Tambahnya, kereta yang digunakan geng itu adalah milik rakan mereka juga warga Vietnam namun lelaki terbabit tinggal di Kuala Lumpur dan polis masih menjalankan siasatan sama ada dia turut terlibat dalam kes jenayah dilakukan suspek.

“Polis juga sedang mengesan dua lagi lelaki warga Vietnam dikenali sebagai Ngujen Van Cong dan Bui Van Manh yang dipercayai ahli geng itu dan rakan kepada suspek ditahan. Kedua-dua mereka berusia 32 tahun. Kami percaya mereka masih bersembunyi di sekitar negeri ini,” katanya. 

Menurutnya, dua lelaki yang ditahan itu kini direman sehingga 28 Julai ini dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959. – Bernama, 20 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen