Polis bazir wang dan sumber siasat penganjur himpunan aman, kata kumpulan sivil


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan (kiri), Pengarah Eksekutif Edict Khalid Mohd Ismath dan jurucakap Caged Rama Ramanathan (kanan) di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Julai, 2020.

PIHAK polis tidak sepatutnya menyiasat penganjur demonstrasi aman kerana perhimpunan seperti itu dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, kata pemimpin kumpulan masyarakat sivil yang ditahan kerana menganjurkan perhimpunan “Black Thursday” pada minggu lalu.

Kumpulan itu, Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict), mengadakan perhimpunan bagi memberi kesedaran mengenai insiden kematian semasa dalam tahanan. Perhimpunan itu diadakan di depan bangunan Majlis Peguam di Kuala Lumpur.

Pengarah Eksekutif Edict Khalid Ismath berkata polis harus memberi tumpuan kepada siasatan kes lebih serius dan bukannya membazir sumber dengan menyiasat penganjur perhimpunan tersebut.

“Tidak perlu menyiasat kami kerana demonstrasi secara damai ditetapkan berdasarkan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan,” kata Khalid dalam satu kenyataan.

“Penyiasatan terhadap kami hanya membuang masa dan wang. Polis boleh menggunakan masa ini untuk meneliti perkara yang lebih serius.”

Awal hari ini, polis memanggil Khalid, jurucakap Eict Rama Ramanathan dan Timbalan Ketua Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvan.

Rama sebelum ini berkata kepada The Malaysian Insight yang beliau tidak tahu mengapa polis ingin menyoal siasatnya kerana namanya tiada dalam notis yang diserahkan kepada pihak berkuasa tersebut.

Khalid berkata kumpulan itu kecewa dengan polis memandangkan perhimpunan itu berakhir dengan aman.

“Tiada masalah, jadi mengapa perlu dilakukan siasatan? Kami diberitahu laporan itu dibuat oleh seorang pegawai kanan polis,” katanya.

Sementara itu, Arutchelvan berkata beliau akan menjawab semua pertanyaan daripada polis, di mahkamah.

“Mereka bertanya satu senarai soalan dan saya memberitahu mereka bahawa saya akan menjawabnya di mahkamah. Saya memberitahu mereka hanya membuang masa,” tambahnya.

Ketiga-tiga mereka disertai oleh peguam M Visvanathan, Raj Surian Pillai dan Farida Mohamad.

Mereka tiba di balai polis daerah Dang Wangi pada pukul 11 ​​pagi dan meninggalkan balai polis kira-kira dua jam kemudian. – 20 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen