Wakil Goldman Sachs di Malaysia untuk bincang pemulangan aset 1MDB


Kerajaan komited memastikan nilai pulangan yang adil dan wajar untuk rakyat, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2020.

PERWAKILAN kanan Goldman Sachs Group Inc sudah tiba di Malaysia minggu ini bagi meneruskan perbincangan dengan Putrajaya berkaitan pemulangan aset berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Minggu ini, perwakilan kanan dari Goldman Sachs Group Inc hadir ke Malaysia untuk meneruskan perbincangan dan rundingan dengan kerajaan,” kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan, hari ini.

“Kerajaan berharap perbincangan ini akan membuahkan hasil dan membolehkan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenai pemulangan aset 1MDB kepada Malaysia,” katanya lagi.

Zafrul berkata, Putrajaya komited memastikan proses pemulangan aset itu berjalan lancar.

“Lebih penting ialah komitmen penuh kerajaan untuk memastikan pemulangan aset 1MDB kepada Malaysia.”

Tambahnya, kerajaan juga mengambil pelbagai langkah proaktif merentas negara dan organisasi dalam usaha mendapatkan semula aset negara itu.

Jelas Zafrul lagi, kerajaan juga sedang mengadakan perbincangan dan rundingan dengan pelbagai organisasi antarabangsa termasuklah Goldman Sachs, proses itu diterajui Jabatan Peguam Negara.

Sebelum ini, akhbar Straits Times melaporkan, eksekutif kanan bank pelaburan itu dan pasukan peguam mereka tiba di Malaysia pada 18 Julai untuk perbincangan dengan pasukan khas pemulangan aset 1MDB diketuai Peguam Negara Idrus Harun.

Laporan memetik sumber kerajaan Malaysia yang arif dengan rundingan itu berlaku dengan baik.

Kedua-dua pihak bersetuju dengan beberapa isu utama yang diperlukan untuk terus berbincang.

Pasukan Goldman Sachs melantik Kumar Partnership sebagai wakil perundangan mereka di Malaysia.

Pasukan tindakan khas 1MDB yang bertindak bagi pihak Putrajaya pula terdiri daripada Idrus, Peguam Cara Negara II Siti Zainab Omar dan dua peguam kanan Rosli Dahlan Sarvana Partnership, Rosli Dahlan dan DP Naban. – 20 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen