Usah berkeras jika anak enggan kembali ke sekolah, kata pakar


Khoo Gek San

Ibu bapa diingatkan supaya lebih banyak bersabar dalam membantu anak menyesuaikan diri dengan rutin baharu selepas lama bercuti sepanjang PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2020.

SEORANG pakar psikologi kanak-kanak menyarankan ibu bapa supaya memberi penjelasan, bukan paksaan untuk memujuk anak mereka yang enggan ke sekolah selepas empat bulan bercuti.

Kelas bagi murid Tahun 5 dan Tahun 6 dibuka semula pada 15 Julai lalu, manakala bagi Tahun 1 hingga 4 akan bermula Rabu ini. Sekolah di seluruh negara sebelum ini ditutup susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung jangkitan Covid-19.

Alice Lee Shing Chin dari SEED Training and Counselling Centre berkata ada ibu bapa mungkin akan mendapati anak mereka enggan ke sekolah semula.

“Paksaan tidak akan membantu. Sebaliknya, ambil masa untuk memahami mengapa mereka tak mahu ke sekolah, apa yang mereka bimbangkan.

“Bagi anak yang masih kecil, mereka tidak pandai luahkan perasaan, jadi ibu bapa perlu membimbing dan ajar bagaimana hendak beritahu apa yang mereka rasa.

“Jelaskan kepada mereka mengapa mereka perlu ke sekolah. Bawa mereka ke taman permainan supaya mereka dapat berjumpa kanak-kanak lain.

“Kanak-kanak akan dapat sesuaikan diri selagi emosi mereka terkawal,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

Ibu bapa juga diingatkan supaya lebih banyak bersabar dalam membantu anak menyesuaikan diri dengan rutin baharu selepas lama bercuti sepanjang PKP.

“Mereka tidak boleh lagi tidur lewat, kena bangun seawal enam pagi untuk bersiap ke sekolah.

“Terangkan kepada mereka mengapa perlu tidur awal.

“Atau mereka mungkin bimbang kerana kerja sekolah belum siap. Ibu bapa hendaklah saling berbincang bagaimana untuk meredakan kerisauan anak,” tambah Lee.

Beliau turut mengongsikan tips bagaimana untuk menenangkan anak di sekolah, antaranya memberi ganjaran jika mereka berkelakuan baik.

Selain emosi anak, ibu bapa juga perlu menangani tekanan yang mereka sendiri hadapi.

Ini memandangkan ibu baoa perlu kembali menyesuaikan masa untuk menghantar dan mengambil anak dari sekolah. Tekanan yang ibu bapa alami dibimbangi akan mempengaruhi emosi anak, kata Lee.

Katanya, ibu bapa perlu bersabar jika anak menangis atau mula memberontak tidak mahu ke sekolah.

“Tarik nafas, dengar masalah anak. Anda mampu menghadapinya.” – 21 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen