HAMPIR 50 tercedera apabila tren penumpang bertembung dengan kereta api barang berhampiran bandar raya Duesseldorf, timur Jerman semalam, menyebabkan operasi menyelamat besar-besaran dilancarkan.
Tiga daripada mereka parah, manakala yang lain mengalami luka ringan, kata jabatan bomba Meerbusch menerusi Twitter.
Kereta api itu membawa 155 penumpang. Tidak dapat dipastikan punca sebenar nahas yang berlaku pada jam 7.30 malam waktu tempatan berhampiran stesen Meerbusch-Osterath di North Rhine-Westphalia, negeri paling ramai penduduk di Jerman.
“Perkhidmatan menyelamat dapat mengawal keadaan. Mangsa yang cedera dipindahkan ke hospital,” menurut Twitter jabatan bomba.
Jurucakap pengendali kereta api itu, Deutsche Bahn memberitahu agensi berita DPA, tren DB Cargo tidak bergerak apabila kereta api penumpang dikendalikan National Express dari Britain merempuhnya.
Perkhidmatan kecemasan dikerah ke lokasi kejadian selepas kemalangan tetapi laluan ke kereta api berhadapan kesukaran berikutan wayar hubungan putus yang perlu dikendalikan terlebih dulu untuk mengelakkan kejutan elektrik. – AFP, 6 Disember, 2017.
Komen