Pemandu e-hailing dipercayai dera anak kandung ditahan 


TINDAKAN kejam seorang bapa yang sering mendera anak perempuan kandungnya sejak kira-kira empat tahun lepas di sebuah rumah di Sungai Jelok, Kajang  akhirnya terbongkar selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata suspek yang berusia 39 tahun ditahan sejurus laporan dibuat oleh remaja berusia 16 tahun itu pada kira-kira 6.15 petang.

“Dalam kejadian pada 4 Julai lepas, mangsa mendakwa dicederakan bapanya di rumah dengan menggunakan rotan dan dicucuh dengan colok yang masih terbakar pada kaki termasuk tapak kaki kerana keluar rumah,” menurutnya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata mangsa dipercayai didera sejak berusia 13 tahun dan suspek mengesyaki remaja itu mencari ibunya kerana ibu bapa mangsa telah berpisah sejak 2009.

“Mangsa bertindak keluar dari rumah dan mengadu kepada rakannya berhubung perbuatan suspek sebelum membuat laporan di Balai Polis Kajang,” katanya. 

Katanya suspek yang bekerja sebagai pemandu e-hailing direman tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.– Bernama, 19 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen