Akar umbi Umno yakin Dr Mahathir boneka DAP


Muzliza Mustafa

Tinjauan dalam kalangan perwakilan Umno yang hadir di Kuala Lumpur minggu ini mendapati retorik parti sudah mendarah mendaging sehingga mereka yakin Dr Mahathir Mohamad dalang DAP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 Disember, 2017.

PEMIMPIN akar umbi Umno percaya Dr Mahathir Mohamad, yang pernah menerajui parti mereka selama 22 tahun, kini hanyalah seorang bekas pemimpin yang kecewa dan jadi boneka DAP.

Bahawa DAP parti paling kecil antara empat parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) sama sekali tidak mengubah pandangan penyokong totok Umno, parti itu dominan dalam pakatan pembangkang.

Bahawa Dr Mahathir Mohamad adalah pengerusi PH dan dicadangkan untuk sekali lagi jadi perdana menteri juga tidak sedikit pun mengubah pandangan mereka.

Tinjauan dalam kalangan perwakilan Umno yang hadir di Kuala Lumpur minggu ini mendapati retorik parti sudah mendarah mendaging sehingga mereka yakin Dr Mahathir adalah dalang DAP.

Muka Melayu

Ibu dua anak, Kamariah Mohd Yusof, 35, berkata DAP tidak akan memberi jalan mudah kepada Dr Mahathir untuk memerintah.

“DAP tetap akan jadi kepala walau dengan parti mana dia bekerjasama sekali pun. Walaupun Dr Mahathir dalam pembangkang, DAP masih ketua. Kita tahu permainannya.

“Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dah rancang lama dulu. Selepas angkat Dr Mahathir (jadi perdana menteri), saya tak fikir mereka akan berhenti di situ,” kata setiausaha Puteri Umno Teluk Intan itu.

Katanya, DAP perlu meletakkan muka Melayu di depan kerana Melayu adalah majoriti.

“Dr Mahathir ini hanya boneka, tidak lebih daripada itu,” katanya.

Kamariah berkata beliau sedih dan tersentak apabila Dr Mahathir, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir menubuhkan Bersatu untuk melawan Umno.

Tetapi selepas membaca dan mendengar cerita kedua-dua belah pihak, Kamariah merumuskan Dr Mahathir keluar Umno kerana agenda peribadi.

“Beliau merajuk. Beliau keluar parti kerana sayangkan Malaysia? Tak lah. Hanya Umno Barisan Nasional yang boleh pimpin Malaysia,” kata Kamariah.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (kiri) dalam satu program Pakatan Harapan bersama pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang. Akar umbi Umno percaya beliau menjadi boneka DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2017.

Seorang lagi pemimpin akar umbi Umno dari Subang juga merasakan Dr Mahathir boneka DAP.

“Memanglah dia ini boneka DAP. Dulu dia beritahu kita DAP itu musuh utama dan tidak boleh percaya. Tetapi sekarang dia yang sokong mereka,” kata Ketua Penerangan Wanita Subang Herny Azura Ghafar.

“Yang saya nampak, pembangkang dan DAP gunakan Dr Mahathir untuk tarik sokongan pengundi muda Melayu kerana dia boleh pengaruhi mereka.”

Tetapi perwakilan dari Air Hitam, Abdul Khalid Saad pula berkata tidak ada bezanya antara pembangkang dan Dr Mahathir.

“Kedua-duanya menggunakan satu sama lain untuk kuasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tetap cintakan Umno

“Semasa dia ada kuasa dia kata macam-macam pasal DAP. Tetapi apabila dia tak suka dengan Perdana Menteri Najib Razak, dia berbaik-baik dengan DAP.

“Dengan dia orang pun dia salam. Keluar Umno sebab sayangkan negara? Saya tak fikir macam itu. Dia ada agenda peribadi dan dia lawan Najib sebab hal peribadi,” kata Basiah Md Said, 71, AJK Wanita Umno Tebrau.

Katanya, beliau dulu hormat pada Dr Mahathir tetapi tidak lagi sekarang selepas bekas perdana menteri itu menyertai PH.

“Saya bukan sokong Umno sebab pemimpinnya. Saya sokong parti sebab saya sayang negara, bangsa dan agama. Hanya Umno yang terbaik.

“Mana ada jaminan kalau kita pilih PH negara ini akan terus dipimpin oleh orang Melayu. Dr Mahathir hanya boneka,” kata Basiah.

Ditanya tentang kontroversi yang menyelubungi Najib, beliau berkata pemimpin pun manusia dan boleh buat silap; pemimpin boleh diganti tetapi tidak parti.

“Emak dan ayah saya ahli Umno. Saya masuk Umno masa umur 18 tahun. Saya penyokong setia Umno. Saya tidak ada terfikir nak ikut Dr Mahathir dan masuk pembangkang.

“Saya akan sokong Umno sampai mati. Saya cuma fikirkan tentang anak cucu. Apa akan jadi dengan orang Melayu kalau pembangkang berkuasa? Cuba tengok Singapura.

“Saya masih ada keluarga di Singapura dan saya tahu macam mana orang Melayu di sana dilayan,” katanya.

Katanya, Dr Mahathir tidak henti-henti bercakap tentang “salah” Najib seolah-olah beliau tidak buat salah selama 22 tahun jadi perdana menteri.

“Beliau bercakap pasal anak orang lain kaya tetapi anak dia kaya juga,” kata Basiah.

Kawannya, Salmah Abas, 58, berkongsi pandangan yang sama. Katanya, Dr Mahathir sepatutnya jadi macam bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi yang terus menyokong Umno selepas letak jawatan pada 2009.

“Macam itulah pemimpin sepatutnya. Bukannya bekerjasama dengan DAP. Pada umurnya, Dr Mahathir sepatutnya berehat dan muhasabah masa lalunya,” katanya.

Suri rumah, Roziana Abdul Rahman, 47, pula berkata tidak ada apa-apa, termasuk Dr Mahathir, yang boleh merampas undinya untuk Umno.

“Mereka yang menentang kerajaan tidak akan mahu mendengar penjelasan. Kerajaan sudah buat yang terbaik.” – 6 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Setakat ini DAP cuma berdiam diri apabila ditanya soal PM dan TPM. Mereka bimbang dengan persepsi sokongan orang Melayu sebenarnya jika mereka nyatakan pendirian tersebut.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan