44 individu ditahan dalam Op Sarang 


SERAMAI 44 individu termasuk empat wanita ditahan, dalam Op Sarang dalam 20 serbuan di sekitar daerah Kota Kinabalu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata, kesemua mereka berumur 15 hingga 56 tahun itu adalah sebahagian daripada 105 individu diperiksa, dalam operasi kawasan panas penempatan setinggan atas air dan kawasan penempatan pendatang asing tanpa izin (Pati), dari pukul 1 pagi Jumaat lepas hingga 5 petang semalam.

Katanya, tujuh individu ditahan dalam operasi itu disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, 12 individu disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala 25 lagi individu ditahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut merampas wang tunai RM1,353 dan dadah jenis syabu seberat 13.53 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Habibi berkata, Op Sarang dilancarkan berdasarkan risikan dan maklumat orang awam, bagi membendung kegiatan penyalahgunaan dadah, sekali gus mengambil tindakan ke atas sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan terbabit.

“Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu akan terus diperhebat, demi kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya. – Bernama, 19 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen