Untuk masa depan, perlu ada parti anak muda, kata badan belia


Zaim Ibrahim

Demi masa depan Malaysia, sebuah parti politik anak muda perlu ditubuhkan untuk pembaharuan senario politik yang lebih matang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2020.

GENERASI muda Malaysia perlukan sebuah wadah politik baharu yang digerakkan oleh anak muda untuk memastikan suara dan aspirasi mereka tidak lagi diperlekehkan, kata badan belia.

Mereka mengakui usaha itu sukar tetapi ia perlu kerana generasi muda kini matang, rasional, dan cakna untuk berpolitik.

Setiausaha Agung Challenger Malaysia Jean Venisha berkata masanya sudah tiba kerana apa yang berlaku di Dewan Rakyat minggu lalu jelas membuktikan bagaimana ahli politik yang senior tidak menghormati suara anak muda.

Beliau merujuk insiden Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diejek dan dipersenda semasa perbahasan mengenai usul pertukaran Speaker Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

“Challenger menuntut agar wujudnya sebuah parti politik baharu yang didukung oleh anak muda. Masalah ini bukan masalah di Parlimen tetapi masalah parti politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, parti politik mengamalkan sistem hierarki senioriti sehingga menyebabkan anak muda terpinggir dan tercicir dalam pilihan raya.

“Semua parti politik perlu meletakkan calon kuat dan sihat, serta bertanggungjawab terhadap kerusinya, saya rasa dalam kalangan anak muda mereka lebih layak. Ranking dalam hieraki parti politik perlu dibuang supaya anak muda dapat berkembang dalam politik,” katanya.

Insiden Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diejek dan dipersenda semasa perbahasan mengenai usul pertukaran Speaker Dewan Rakyat pada Isnin lalu, mencetuskan kemarahan ramai anak muda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2020.

Challenger Malaysia adalah penganjur Parlimen Digital yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini iaitu sebuah platform parlimen olok-olok yang memberi ruang kepada anak muda membahaskan isu semasa.

Susulan insiden Syed Saddiq diejek dan diperlekehkan di Dewan Rakyat menggerakkan mereka melancarkan kempen #MasaKita di media sosial bertujuan meningkatkan kesedaran politik dalam kalangan anak muda – bahawa ini masanya untuk mereka menentukan masa depan negara.

Venisha tidak menolak kemungkinan daripada kempen ini akan lahir sebuah parti politik baharu yang keanggotaannya terdiri daripada anak muda.

“Kita sudah lancarkan Parlimen Digital dan baru-baru ini kempen #MasaKita. Kempen di media sosial ini untuk menyedarkan generasi muda tentang ketidakcekapan sistem politik tradisional.

“Niat kami ialah kita bukan dihidangkan (isu) siapa ketua parti yang lebih berkuasa, siapa bakal perdana menteri, tetapi kita membawa balik (isu) kepada perbincangan polisi dan ekonomi negara,” katanya.

Anak muda tersepit

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata anak muda bukannya tidak berbakat dalam politik tetapi mereka terkepung apabila berlaku konflik antara ahli politik yang senior.

“Saya yakin kalau Pilihan Raya Umum ke-15 berlaku dalam waktu terdekat, muka-muka yang sama (ahli politik yang senior) masih lagi ada,” katanya.

Jufitri menjelaskan pihaknya akan melancarkan perbincangan meja bulat pada September ini untuk membincangkan masa depan anak muda dalam politik di Malaysia.

Usaha penubuhan parti politik anak muda itu sukar tetapi ia perlu kerana generasi muda kini matang, rasional, dan cakna untuk berpolitik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2020.

Melalui MBM, beliau berkata pihaknya akan melancarkan sebuah perbincangan meja bulat untuk melihat keberkesanaan parti politik muda di Malaysia.

“Kita akan jemput aktivis politik anak muda, tokoh dan penggerak parti anak muda serta wakil Parti Solidaritas Indonesia (PSI),” tambahnya.

PSI ialah sebuah parti politik yang ditubuhkan menjelang pilihan raya umum Indonesia pada 2014 yang diterajui dan dianggotai oleh anak muda. Parti itu menetapkan syarat diketuai oleh mereka berumur yang tidak lebih 45 tahun.

“Parti itu (PSI) ketua umumnya belia berusia 33 tahun dan ahlinya terdiri daripada anak-anak muda.

“Kita nak tengok idea ini dan akan hantar mesej kepada ahli-ahli politik yang senior,” jelas Jufitri.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa DAP Johor Mahdzir Ibrahim berkata selain penubuhan parti politik, institusi Parlimen boleh berperanan dengan mengadakan lebih banyak program yang melibatkan anak muda.

“Parlimen boleh dibuka sayap kepada golongan muda melalui wakil persatuan dan terlibat dalam jawantankuasa-jawatankuasa Parlimen,” katanya.

Parlimen boleh dibuka sayap kepada golongan muda melalui wakil persatuan dan terlibat dalam jawatankuasa Parlimen, kata Ahli Jawatankuasa DAP Johor Mahdzir Ibrahim.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2020.

Jelasnya, Parlimen sedang dalam proses reformasi yang dimulakan oleh bekas speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof, dan beliau yakin Speaker baharu Azhar Azizan Harun akan meneruskan agenda reformasi.

Mengenai tindakan ahli parlimen senior mengejek Syed Saddiq tempoh hari, Mahdzir berkata ia budaya yang tidak sihat.

“Sikap perlekeh dan menghina adalah tidak wajar, Ahli Parlimen muda yang ada sekarang perlu menjadi contoh kepada orang tua bahawa walaupun diperlekeh, kita kekal waras, tenang, dan rasional,” jelas beliau.

Isnin lalu, semasa memohon untuk mencelah perbahasan Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad, Syed Saddiq diejek dan dipermainkan oleh beberapa ahli parlimen dari Barisan Nasional.

Antaranya Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas), Noh Omar (Tanjong Karang), Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling) yang mencemuh Syed Saddiq sebelum beliau dibenarkan mencelah. Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias pula menyampuk meminta Syed Saddiq duduk semasa beliau berucap.

Anak muda kini lebih cakna dalam politik tetapi kelompok orang tua jadi penghalang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2020.

Susulan itu, muncul tanda pagar #MasaKita di Twitter dengan pelbagai mesej yang menuntut suatu suasana berpolitik yang baharu, yang lebih matang dan menghormati suara anak muda dan dipimpin oleh anak muda.

Penganalisis politik dari Institut Penang Nidhal Mujahid berkata parti politik anak muda adalah satu keperluan semasa.

Namun beliau mengakui parti baharu di Malaysia akan selalu berdepan jalan yang sukar.

“Mentaliti kebanyakan orang masih memerhati dan memilih parti politik sedia ada, berbanding  parti baharu,” katanya.

Pengundi di Malaysia juga lebih cenderung melihat kepada tokoh, dan untuk itu, sebuah parti untuk anak muda harus mencari strategi yang lebih tersusun.

“Kalau kita lihat Amanah dan Bersatu, ada individu seperti Dr Mahathir dan pemimpin bekas ahli PAS yang menjadi faktor ‘wow’ untuk  (dua parti itu) menang dalam PRU lepas.

“Mungkin kalau ada strategi yang tersusun dan beberapa tokoh yang meyakinkan masyarakat, penubuhan parti baru (anak muda) boleh direalisasikan,” jelasnya. – 20 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen