PUTERA mahkota Kuwait pada Sabtu, mengambil alih sebahagian tugas pemerintah selepas Emir Kuwait yang berusia 91 tahun, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah dimasukkan ke hospital, kata agensi berita negara KUNA.
“Putera Mahkota (Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah) akan melaksanakan sementara kuasa prerogatif tertentu,” kata adiknya, ketua pejabat negara itu, yang dipetik oleh KUNA.
Agensi itu melaporkan sebelum ini Sheikh Sabah, pemerintah negara Teluk yang kaya dengan hasil minyak sejak 2006, dimasukkan ke hospital “bagi menjalani ujian perubatan”.
Pada September 2019, Sheikh Sabah menjalani pemeriksaan perubatan sejurus tiba di Amerika Syarikat (AS), menyebabkan pertemuannya dengan Presiden Donald Trump dibatalkan.
Emir menjalani pembedahan apendiks pada 2002, dua tahun selepas pembedahan jantung. Pada 2007, beliau menjalani pembedahan saluran kencing di AS.
Sheikh Sabah tahun lalu menggesa ketegangan di Teluk diredakan susulan krisis antara AS dan Iran.
Beliau dianggap sebagai arkitek dasar luar Kuwait moden.
Sheikh Nawaf, 83, adalah seorang pemimpin kanan yang memegang jawatan tinggi selama beberapa dekad, termasuk portfolio pertahanan dan dalam negara. – AFP, 19 Julai, 2020.
Komen