PKR mahu bahas lagi cadangan nama calon PM, TPM untuk Pakatan


Bede Hong

PKR tidak mencapai kata putus untuk menerima atau menolak cadangan menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon jawatan perdana menteri dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri bagi Pakatan Harapan.

Biro politik yang bermesyuarat malam tadi sebaliknya hanya mengambil maklum cadangan tersebut yang dikemukakan pada pemukiman pimpinan PH pada hujung minggu lepas.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata mesyuarat berkenaan sekadar “membahaskan cadangan penamaan calon perdana menteri” itu.

“Memandangkan cadangan tersebut belum diangkat secara rasmi oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan, dan mengambil kira sejarah serta prinsip-prinsip perjuangan reformasi, maka Biro Politik KEADILAN mengambil keputusan meneruskan perbincangan berkenaan cadangan ini untuk memastikan ianya terbaik buat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan dua perenggan yang dikeluarkan selepas mesyuarat.

Turut hadir dalam mesyuarat selama kira-kira tiga jam itu itu adalah Presiden parti, Dr Wan Azizah Wan Ismail, dua orang Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua serta Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Saifuddin Abdullah.

Ketika ditanya, Fahmi berkata beliau tidak akan mengesahkan atau menafikan apa-apa perkara yang dibincangkan.

“Terdapat perbincangan mengenai siapa (nama) yang akan diketengahkan dan ia dibincangkan.

“Ada satu cadangan atau lebih yang dibincangkan semasa pemukiman (minggu lalu). Dan malam ini (PKR) bincangkan prinsip dalam cadangan tersebut.

“Kita akan buat pengumuman ke atas perkara itu. Kita akan pastikan kita buat pertimbangan sepenuhnya mengenai perkara ini. Kita akan teruskan berbincangan,” kata Fahmi.

Beliau enggan memberi anggaran tempoh untuk membuat keputusan tersebut dan tarikh untuk mesyuarat majlis tertinggi PH juga belum ditetapkan, kata Fahmi.

Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah masing-masing dinamakan sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri selepas pemukiman di Putrajaya, yang berakhir Sabtu lalu.

Kesemua parti dalam PH sudahpun mempersetujui cadangan nama tersebut untuk mengetuai kabinert PH, sekiranya gabungan parti tersebut menang dalam pilihan raya umum akan datang. – 6 Disember, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen