Covid-19 buka jalan untuk pawagam pandu lalu di Malaysia


Noel Achariam

Pengarah Hiburan 2Spicy Arvin Randahwa berkata perintah kawalan pergerakan menyebabkan industri hiburan terpaksa mengubah cara dan kaedah pawagam beroperasi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Julai, 2020.

KETIKA pawagam bergelut menarik penonton yang masih bimbang tentang Covid-19, dua syarikat hiburan bekerjasama membawakan pengalaman pawagam luar panggung kepada orang ramai.

Dikenali sebagai M-Junction, kerjasama antara 2Spicy Entertainment dan MD Events Asia bakal menyaksikan pawagam pandu lalu pertama di Malaysia akan dibuka apa akhir Julai ini di Kuala Lumpur.

Pengarah Hiburan 2Spicy Arvin Randahwa berkata perintah kawalan pergerakan menyebabkan industri hiburan terpaksa mengubah cara dan kaedah pawagam beroperasi.

“Kami tidak dibenarkan beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dan ini menjejaskan perniagaan kami yang menyaksikan kejatuhan (pendapatan) sehingga 95%.

“Kami juga terpaksa melepaskan 50% pekerja kami. Jadi, kami perlukan kaedah pendapatan baharu untuk terus bertahan secara kewangan dan memilih konsep pandu lalu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

2Spicy Entertainment adalah syarikat bertanggungjawab terhadap beberapa tarikan pelancongan luar biasa seperti Dinner In The Sky dan Plane In The City, MD Events Asia pula adalah pakar cahaya dan bunyi.

Pawagam pandu lalu akan terletak di Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang dan dijadualkan dibuka bermula 28 Julai.

Sudah ada 14,000 tempahan dalam talian sejak M-Junction membuka slot tempahan sejak 3 Julai lalu.

Pawagam pandu lalu akan terletak di Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang dan dijadualkan dibuka bermula 28 Julai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Julai, 2020.

Arvin menyifatkan pengalaman menonton filem di pawagam pandu lalu adalah seperti menonton di rumah dengan penuh selesa, bezanya, pengalaman itu di dalam kereta dan di tempat terbuka.

“Anda tidak akan dikelilingi orang asing seperti dalam pawagam biasa di mana anda tak dibenarkan membuat panggilan telefon. Konsep kami benarkan anda guna telefon bimbit, untuk jawab atau buat panggilan atau guna komputer riba jika anda mahu.

“Ada penjarakan sosial kerana semua penonton berada dalam kereta masing-masing. Makanan pula ditempah secara dalam talian. Jadi, memang tidak ada kontak dengan orang lain.”

Konsep itu juga membolehkan 2Spicy Entertainment menggunakan peralatan mereka seperti skrin LED, pembesar suara dan audio yang sudah lama tidak digunakan kerana PKP.

Eksekutif Pemasaran Govin Randhawa pula berkata, perniagaan terjejas teruk kerana sudah tidak ada tempahan majlis yang menggunakan khidmat mereka kerana wabak Covid-19.

“Ramai pelanggan kami adalah syarikat pengurusan acara dan konsert yang juga tidak boleh beroperasi sejak beberapa bulan lepas.

“Jadi, masuk akal lah untuk kami gunakan sepenuhnya peralatan kami untuk pawagam luar panggung.”

Konsep pawagam pandu lalu sudah lama wujud di luar negara, tetapi di Malaysia ia mula mendapat tempat kerana wabak Covid-19. – Gambar AFP, 23 Julai, 2020.

Masih perlu patuh SOP

Ini adalah pawagam pandu lalu yang menggabungkan konsep pemanduan dan makan di luar.

Sebuah lagi pawagam pandu lalu akan dilancarkan di Perak oleh kerajaan negeri sebagai satu cara merangsang industri pelancongan yang terjejas teruk kerana wabak Covid-19.

Semua penonton di pawagam pandu lalu bagaimanapun masih perlu mematuhi SOP biasa seperti pemeriksaan suhu badan, kata Govin.

“Akan ada senggang masa sejak sebelum tayangan bermula. Ini adalah untuk pemeriksaan suhu, taklimat ringkas peraturan dan aturan kereta.

“Hanya 50 kereta dibenarkan untuk setiap tayangan dan setiap kereta hanya boleh ada dua penonton.”

SOP pencegahan Covid-19 seperti pemeriksaan suhu badan dan penjarakan sosial masih perlu dipatuhi. – Gambar AFP, 23 Julai, 2020.

Katanya, mereka akan memulakan operasi dengan dua slot tayangan malam hari iaitu 7 sehingga 9 malam dan 9 sehingga 11 malam. Ini adalah slot yang dibolehkan seperti syarat perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Filem akan ditayangkan di skrin berukuran sembilan kali empat kaki, dan pelbagai pilihan filem tempatan dan luar negara sejak 2018 akan ditayangkan.

Aspek makanan pula, kata Arvin adalah gabungan makanan tempatan dan barat, dengan pilihan pembayaran nirtunai.

Pakej untuk sebuah kereta adalah RM99 termasuk makanan untuk dua orang.

Penonton bagaimanapun tidak wajib menghabiskan tayangan dan boleh keluar sekiranya mahu dengan syarat memaklumkan kepada krew lapangan yang akan memberi panduan keluar, tambah Arvin lagi. – 23 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen