Periuk nasi busker kini tiada beras


Zainal Rashid Ahmad

APABILA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac hinggalah PKP Pemulihan yang dikuatkuasakan pada 10 Jun lalu, pemuzik jalanan atau busker antara paling teruk terjejas.

Selepas empat bulan dilarang mengadakan persembahan, busker kehilangan mata pencarian.

Ia bukan kisah Kuala Lumpur. Busking sudah menjadi mata pencarian hampir lima ratus pemuzik dan penyanyi jalanan di seluruh negara. Sama ada yang mengadakan persembahan solo atau berkumpulan.

“Terus-terang cakap, sekarang nak beli beras pun minta orang,” kata busker yang sudah 27 tahun mencari rezeki di sekitar ibu kota.

Masa dua bulan pertama PKP, kata penyanyi yang memiliki dua orang anak ini, busker beralih ke persembahan dalam talian.

“Masa itu dapatlah juga RM50 ke RM60 sehari melalui busking dalam talian. Namun sejak PKP Terkawal dan Bersyarat dilaksanakan pada Mei, pendapatan mulai susut.

“Apabila majoriti rakyat Malaysia sudah kembali bekerja pada 10 Jun lalu, keadaan berubah.

“Ada masa, selama dua jam busking dalam talian, bila semak akaun bank hanya ada RM7 sahaja sumbangan penonton,” katanya.

Sebagai penyanyi yang 100% bergantung pada persembahan jalanan, busker tidak memiliki banyak wang simpanan.

Kata anak kelahiran Pahang ini, sebagai busker, mereka memperolehi RM2 ribu hingga RM2,500 sebulan.

Itu pun dengan hanya bercuti antara sehari hingga dua hari.

Tiada beras di dapur

“Dengan pendapatan hanya cukup makan, kami tiada tabungan kerana wang busking disimpan untuk sewa rumah, bayaran bil dan digunakan untuk belanja bagi keperluan keluarga,” katanya.

Memiliki dua anak yang bersekolah, busker sepenuh masa ini lebih tertekan memikirkan sesi persekolahan yang akan bermula minggu ini.

“Sekarang hendak makan pun berhempas pulas. Apa lagi apabila sekolah dibuka dan anak-anak perlukan duit harian,” katanya.

Selain busking di jalanan, ketika tanpa PKP, busker menerima lebih rezeki apabila diundang menyanyi di majlis kenduri.

“Satu majlis kenduri orang bayar RM500 hingga RM1 ribu dan dikongsi berdua atau bertiga, ia bonus bagi kami,” katanya.

Namun, dalam keadaan PKP Pemulihan sekarang, semua pintu pendapatan tertutup apabila pihak berkuasa melarang kegiatan berkumpul di tempat awam serta larangan majlis kenduri.

“Kami benar-benar mati kutu. Semalam, selepas empat jam busking dalam talian saya hanya dapat RM21 saja,” katanya.

Penyanyi ini sudah tiga bulan tidak mampu menjelaskan sewa rumah dan terpaksa menjual sebuah gitarnya untuk menjelaskan bil elektrik dan air yang tertunggak.

“Apa lagi saya ada. Tak mungkin saya menjual gitar kedua yang digunakan sebagai mata pencarian,” katanya.

Rayu kerajaan izin busking

Busker ini merayu kerajaan mengizinkan segera mereka kembali menyanyi di jalanan.

“Paling tidak kami dibenarkan busking di restoran sekiranya pihak berkuasa bimbang aktiviti di pedestrian menyebabkan berhimpun,” katanya.

Walaupun yakin, pendapatan di restoran hanya separuh daripada hasil menyanyi di jalanan, bagi busker itu lebih baik demi mendapatkan nasi dan lauk.

“Kami merayu kerajaan dan DBKL serta pihak berkuasa tempatan faham keadaan kami,” katanya.

Apabila kehidupan kembali normal, kata busker ini, masyarakat beranggapan semua orang kembali bekerja menjalani kehidupan biasa.

“Kami dapat merasakan perbezaan apabila mengadakan persembahan dalam talian. Dulu, masa PKP boleh dapat sampai RM50 ke RM100, tapi selarang RM10 pun susah,” katanya.

Malah, kata penyanyi jalanan ini, ada netizen yang mengkritik kononnya kami malas berusaha dan mencari jalan mudah busking secara dalam talian dari rumah.

“Sedangkan hakikatnya, kami masih dilarang mengadakan persembahan di tempat terbuka,” katanya. – 19 Julai, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen