Kerajaan tidak stabil sukar tarik pelabur, kata Johari Ghani


Mohd Farhan Darwis

Bekas menteri kewangan Johari Abdul Ghani berkata untuk membangunkan semula ekonomi selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, kestabilan politik mampu dicapai dengan kerajaan yang kukuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2020.

KERAJAAN yang tidak stabil akan menyukarkan Malaysia menarik pelaburan asing terutama ketika semua negara serantau agresif cuba memulihkan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19, kata bekas menteri kewangan Johari Abdul Ghani.

Katanya, pelabur kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum melabur di Malaysia.

Mereka khuatir pertukaran kerajaan akan menjejaskan pelaburan mereka disebabkan polisi yang berubah-ubah, jelasnya.

“Pelabur takut dasar bertukar cepat sangat, contohnya dahulu Barisan Nasional laksanakan GST (cukai barang dan perkhidmatan) menggantikan SST (cukai jualan dan perkhidmatan), yang majoriti negara gunakan.

“Apabila bertukar kerajaan kembali semula guna SST. Pelabur takut dasar untuk pelaburan mungkin bertukar bila tukar kerajaan,” katanya dalam satu wawancara dengan Utusan Malaysia hari ini.

Wawancara itu disiarkan secara langsung melalui Facebook sempena pelancaran akhbar itu, yang akan terbit semula pada Isnin.

Jelas Johari, untuk membangunkan semula ekonomi selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, kestabilan politik mampu dicapai dengan kerajaan yang kukuh.

“Kalau yang jadi kerajaan (mempunyai) satu, dua lebih (majoriti), susah… tidak stabil, susah juga kepada pelabur.

“Pelabur akan tengok perkara itu. Mereka juga tidak suka kerajaan bertukar begitu cepat, tetapi bila kerajaan kukuh, mereka yakin untuk melabur,” kata bekas ahli Parlimen Titiwangsa.

Selepas percaturan politik pada hujung Februari, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membentuk pentadbiran dengan majoriti tipis dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Usul menggantikan Speaker Dewan Rakyat oleh Muhyiddin pada Isnin lepas diluluskan dengan sokongan 111 ahli parlimen berbanding 109 menentang, dengan dua ahli parlimen PN tidak mengundi.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan penganalisis politik sebelum ini berpendapat setiap usul di Dewan Rakyat akan menguji majoriti sokongan kerajaan Muhyiddin.

Menurut Johari, tanpa penyelesaian untuk menstabilkan kembali kerajaan sukar untuk para pelabur melabur dalam negara ini.

“Pelabur suka Malaysia, rakyat boleh bercakap pelbagai bahasa, kemudahan banyak, tetapi mereka tunggu kestabilan.

“Dulu kita boleh suruh mereka tunggu, sekarang tak lagi sebab negara-negara jiran kita agresif tarik pelaburan,” kata Johari lagi.

“Jadi kita kena hantar mesej negara kita stabil,” tambahnya.

Beri tumpuan pertanian

Kerajaan juga katanya harus melihat dan memberikan tumpuan kepada sektor yang mampu memberikan pulangan besar untuk memulihkan ekonomi negara.

Selain itu katanya, dalam keadaan pintu negara masih ditutup, tumpuan juga harus diberikan untuk memajukan sektor pertanian memandangkan sebahagian besar sumber makanan negara diimport dari luar.

“Beri tumpuan kepada industri yang negara boleh dapat kesan berganda, kita tumpu itu. Sektor pertanian, kita sebahagian besar beras kita import, daging lembu pun kita import.

“Sedangkan kita boleh buat sendiri, ini kerajaan kena bantu, tetapi kena bagi kepada orang yang betul,” katanya lagi. – 18 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen