Moratorium tamat, bank mungkin tawar bayaran balik lebih rendah


ACCCIM berharap BNM akan umum susulan program bayaran balik fleksibel untuk membantu individu dan perniagaan selepas moratorium tamat September. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2020.

INSTITUSI kewangan pada masa ini sedang aktif menghubungi peminjam untuk menawarkan bantuan bagi bayaran balik pinjaman dan kemudahan kredit selepas moratorium pinjaman berakhir pada September, kata Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

Presiden ACCCIM Ter Leong Yap berkata bayaran balik fleksibel termasuk ansuran bulanan lebih rendah, meningkatkan bayaran balik dan lanjutan tempoh pinjaman.

“Pendekatan bersasar itu akan membantu banyak sektor dan peminjam yang beroperasi dan bekerja dalam industri paling lemah, yang akan mengambil masa lebih panjang untuk pulih,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada April, Putrajaya mengumumkan moratorium pinjaman sebagai sebahagian strategi bagi menangani masalah ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Pada 28 Jun, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata kerajaan akan berbincang dengan bank berkenaan lanjutan moratorium itu yang akan tamat pada September.

Bagaimanapun, pada 3 Julai, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata bank pusat itu tidak akan mempertimbangkan berbuat demikian.

Ter berkata dalam mesyuarat dengan BNM semalam persatuan itu meluahkan kebimbangannya berkenaan tempoh tamat moratorium enam bulan itu.

“Kami harap BNM akan umum susulan program bayaran balik fleksibel untuk membantu individu dan perniagaan mengendalikan urusan mereka pada waktu sukar ini.”

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Gabenor BNM Jessica Chew dan dihadiri pegawai kanan bank.

ACCCIM diwakili oleh Ter, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi Lee Heng Guie dan Sekretariat ACCCIM Lee Cheng Siang. – 18 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen