Kenderaan masuk ke Melaka meningkat sejak awal bulan


JUMLAH kenderaan memasuki Melaka pada cuti hujung minggu mencatatkan peningkatan sejak awal bulan ini iaitu antara 50,000 hingga 60,000 berbanding suasana lengang di kawasan pelancongan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac lepas.

Ketua Polis Melaka Mat Kasim Karim berkata jumlah itu dijangka terus meningkat memandangkan negeri ini merupakan destinasi tumpuan dan lebih banyak kawasan pelancongan mula beroperasi sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lepas.

Beliau berkata bagi melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan lalu lintas pihak polis menerusi Cawangan Trafik juga mengadakan Op Lancar dengan menugaskan anggota dan pegawai di lokasi-lokasi strategik.

“Sebanyak 40 polis pelancong juga ditugaskan bagi mengawal kawasan pelancongan serta beberapa anggota turut membantu membuat pemantauan bagi memastikan bandar Melaka bebas daripada sebarang jenayah. 

“Pelancong-pelancong juga tidak perlu risau kerana saya percaya rakyat di negeri ini juga mengalu-alukan kedatangan mereka bagi membantu memulihkan ekonomi dan pada masa yang sama kita berharap orang awam terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya kepada pemberita di Melaka, hari ini.

Terdahulu beliau dan Timbalan Ketua Polis Melaka Sharul Laili Masduki mengiringi Ketua Menteri Sulaiman Md Ali yang melakukan lawatan kerja ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Ayer Keroh di Melaka, hari ini. 

Dalam pada itu, Mat Kasim berkata indeks jenayah di Melaka menunjukkan penurunan sebanyak 27.8% dan ia dilihat jaminan kepada orang ramai mahupun pelancong supaya tidak perlu bimbang untuk melancong ke negeri ini.

Sementara itu, Sulaiman turut merayu kepada rakyat di Melaka supaya tidak menularkan berita palsu yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat sehingga mewujudkan suasana panik yang boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi negeri yang sedang pulih.

“Rakyat sewajarnya merujuk kepada pihak berkaitan terutama membabitkan isu Covid-19 dengan mendapatkan kesahihan daripada Jabatan Kesihatan negeri atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas cadangan menukar nama Bukit St Paul di Bandar Hilir kepada Bukit Melaka, Sulaiman berkata ia perkara itu perlu diperhalusi dan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.

“Melakukan suatu perubahan yang drastik ia memerlukan perbincangan penelitian yang lebih telus,” katanya mengulas cadangan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Mohd Nasruddin Rahman dilaporkan media baru-baru ini. – Bernama, 17 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen