PLKN wajar dihidupkan semula


SAYA menyokong penuh cadangan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan yang mencadangkan Putrajaya mengembalikan semula agensi dan program yang ditamatkan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan termasuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Seperti sedia maklum PLKN ditubuhkan pada 16 Februari, 2004 dengan penyertaan 885,956 belia dan anak muda di dalam negara sehingga 2018.

PLKN merupakan gabungan latihan ketenteraan dan penanaman nilai patriotik kepada generasi muda ke arah cinta, kasih dan sayang akan negara.

Program ini berbeza daripada kerahan tenaga yang dilaksanakan beberapa negara lain kerana menggunakan modul dan acuan kita sendiri yang disesuaikan dengan keadaan sosial, budaya dan ekonomi.

PLKN juga bertindak sebagai satu mekanisme bagi pembentukan disiplin diri remaja. Disiplin diri merupakan asas penting bagi sesuatu kejayaan. Masa lapang selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diisi dengan kegiatan yang berfaedah dan mendisiplinkan diri dengan jadual yang ditentukan.

Program ini juga dapat mematangkan fikiran mereka setelah menjalani latihan dan menguji ketahanan mental dan fizikal. Program ini yang melibatkan pelbagai kaum juga, dapat memperkukuhkan integrasi nasional.

Melalui program ini, remaja berbilang kaum, kebudayaan dan agama dapat dihimpunkan dalam satu wadah bagi menyuburkan semangat perpaduan kaum. Hal ini kerana semasa menjalani aktiviti program mereka tinggal bersama-sama.

Jurulatih PLKN juga membantu pelatih memahami cara negara yang merangkumi tanah air, rakyat dan kadaulatan ini ditadbir melalui sistem pentadbiran.

Program yang dilaksanakan dalam PLKN meliputi modul tertentu, iaitu latihan fizikal, kursus bina semangat, kursus bina perwatakan dan khidmat masyarakat.

Latihan fizikal PLKN tidak membabitkan penggunaan senjata api atau latihan ketenteraan. Pelajar akan belajar berkawad, tempur tanpa senjata, pertolongan cemas, merentas halangan dan kegiatan sukan.

Melalui asas ketenteraan ini, remaja didedahkan dengan kemahiran kepimpinan dan ikhtiar hidup.

PLKN juga akan mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja lepasan sekolah. Gejala sosial berlaku apabila golongan remaja menghabiskan waktu dengan cara melepak bersama-sama rakan di tempat awam. Remaja lepasan sekolah biasanya mempunyai masa terluang yang banyak sementara menanti peluang melanjutkan pelajaran atau memenuhi pasaran kerja.

Oleh itu, mereka memerlukan aktiviti yang membolehkan masa diisi dengan berfaedah sebelum mereka terjerumus ke kancah gejala sosial yang lebih parah, atau sebelum kudis menjadi tokak.

Dengan adanya program ini, golongan remaja yang terpilih akan ditempatkan di kem latihan sepenuh masa selama tiga bulan. Oleh itu pergerakan mereka akan terhad di sekitar kawasan yang dikhususkan kepada mereka. Mereka tidak dibenarkan keluar dan menghabiskan masa di luar tanpa tujuan.

Hasilnya, gejala sosial dapat dibendung dengan jayanya jika golongan remaja menyertai program berkenaan.

Tambahan pula program ini mendedahkan golongan remaja kepada kerja bercorak kebajikan. Golongan remaja masa kini biasanya hidup dalam keadaan mewah dan hanya mementingkan gaya hidup yang bebas. Mereka jarang diajak untuk menabur bakti dengan melakukan kerja kebajikan.

Dalam program ini model khidmat masyarakat yang melibatkan kerja kebajikan diperkenalkan supaya peserta dalam memberikan sumbangan ke arah melahirkan masyarakat penyayang.

Mereka dihantar untuk bekerja membersihkan kawasan perumahan, rumah kebajikan, rumah anak yatim, dan sebagainya. Dengan cara ini golongan remaja akan menjadikan kerja kebajikan sebagai sesuatu yang boleh dilakukan sepanjang masa dan bukan pada masa tertentu saja.

Secara tuntasnya, Program Latihan Khidmat Negara yang dijalankan sebelum ini, memang mendatangkan lebih banyak kebaikan kepada remaja mahupun negara.

Justeru itu, pihak kerajaan digesa agar mengaktifkan semula Program Latihan Khidmat Negara demi melahirkan lebih banyak generasi muda yang cemerlang dan cintakan negara. – 17 Julai, 2020.

* Muhammad Afiqq Noh ialah pengerusi Alumni Program Latihan Khidmat Negara Kelantan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen