Patriot selar sikap ahli Parlimen di Dewan Rakyat


Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata sikap sesetengah ahli Parlimen berkenaan menunjukkan mereka tidak layak diberi gelaran ‘Yang Berhormat’. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2020.

PERSATUAN Patriot Kebangsaan (Patriot) hari ini menyelar kelakuan ahli-ahli Parlimen yang kurang sopan semasa sidang Dewan Rakyat.

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata sikap sesetengah ahli Parlimen berkenaan menunjukkan mereka tidak layak diberi gelaran ‘Yang Berhormat’.

“Jika ahli Parlimen kita tidak boleh tidak boleh bersopan dan berkelakuan baik semasa sidang Parlimen, maka eloklah mereka letak jawatan, berhenti dari politik dan usah bazirkan duit rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Arshad berkata mereka sepatutnya mencontohi sikap ahli-ahli Parlimen di Singapura.

“Mereka berkelakuan dengan penuh tertib dan rasa hormat, tidak hanya terhadap sesama ahli Parlimen, tetapi yang paling penting kepada Dewan.

“Sudah tiba masanya pengundi, terutama mereka yang pertama kali mengundi untuk menimbang kelebihan dan kekurangan setiap calon supaya calon yang tidak diingini tidak dipilih sebagai ahli Parlimen.

“Rakyat Malaysia berhak mendapat ahli Parlimen yang progresif, berintelektual, dihormati dan berkelakuan sopan. Sudah pastinya bukan ahli Parlimen yang mencetus kekecohan semasa sidang Parlimen pada Isnin lalu,” tambah Arshad.

Sidang Dewan Rakyat pada Isnin terganggu ekoran ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang saling berteriak dan menggunakan bahasa kasar, terutamanya ketika pelantikan speaker baharu.

Beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional juga mengejek bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun keesokan harinya mengarahkan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim memohon maaf kepada Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto selepas mengeluarkan kenyataan “gelap” dan “pakai bedak” semasa sidang Isnin. – 17 Julai, 2020.       



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen