Warga asing terkandas berdepan kekurangan penerbangan, harga tiket mahal


Khoo Gek San

Mereka terkandas di Malaysia sejak kerajaan menutup pintu sempadan pada 18 Mac berikutan pandemik Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2020.

WARGA asing yang terkandas berikutan sekatan yang dikuatkuasakan kerana pandemik Covid-19 berdepan cabaran baharu untuk kembali ke negara asal mereka - kekurangan tiket penerbangan dan harga yang melonjak.

Ketika Putrajaya membenarkan warga asing kembali ke negara asal mereka, dengan syarat mereka mempunyai tiket penerbangan yang sah, ada di antara mereka yang mengeluh kerana harga tiket melonjak sehingga tiga kali ganda.

Mereka yang terkandas di Malaysia sejak kerajaan menutup pintu sempadan pada 18 Mac berkata tiket penerbangan ke China, Vietnam dan Nepal naik mendadak antara RM7,000 dan RM18,000 seorang.

Sebelum pandemik, tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke China hanya kira-kira RM2,000, yang mana ia boleh dikurangkan dengan diskaun sehingga RM1,000. Namun kini tiket penerbangan sukar didapati walaupun wang tidak menjadi masalah. 

Warga China, Zhang, berkata beliau perlu kembali ke China ketika tempoh kawalan pergerakan kerana saudaranya tenat, namun tidak dapat membeli tiket. 

“Saya terpaksa hubungi kedutaan China untuk dapatkan bantuan. Mereka bertindak cepat dan syarikat penerbangan China menghubungi saya dan mengatur untuk penerbangan pulang,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Zhang berkata tiket sehala dari Kuala Lumpur ke Shanghai berharga RM7,000. 

“Hanya satu penerbangan dalam seminggu, dan tambangnya adalah RM7,345 (kira-kira CN¥12,000).”

Seorang lagi warga China, Wang, juga dapat pulang ke China selepas membayar RM9,000 untuk penerbangan sehala ke Shanghai dari Kuala Lumpur. 

Setiausaha Malaysia Inbound Chinese Association Cindy Seow berkata China kini mengehadkan semua penerbangan antarabangsa kepada satu penerbangan seminggu dan memandangkan pesawat kembali kosong, ia melibatkan kos yang tinggi. 

Seow berkata ramai pihak meminta bantuan daripada persatuan perdagangan termasuk bukan warga Chian seperti warga Vietnam.

Vietnam sebelum ini menyewa pesawat untuk kembali ke negara mereka, namun harga tiket kini melonjak. 

Seow berkata ramai warga China bekerja atau menyambung pengajian di Malaysia dan kebanyakan mereka telah hubungi kedutaan mereka untuk mengatur penerbangan keluar Malaysia.

“Mereka yang diberhentikan kerja oleh majikan atau pelajar yang terkandas di Malaysia semuanya mahu kembali ke negara asal mereka. 

“Bukan hanya China, ada juga mereka dari Vietnam dan Nepal. Namun sejak sempadan Vietnam ditutup, warganya yang terkandas di sini tidak berniat untuk pulang,” katanya.

Menjadikan China sebagai contoh, Seow berkata hanya satu penerbangan yang membawa 200 penumpang kembali ke negara itu setiap minggu, kini terdapat 4,000 orang yang menunggu giliran untuk pulang. 

“Dengan hanya 200 orang pulang setiap minggu, mereka perlu tunggu sehingga September untuk mendapatkan penerbangan, dan itu hanya anggaran konservatif,” katanya. 

Seow berkata agensi pelancongan tempatan tidak dapat mengatur penerbangan itu kepada warga China kerana ia hanya boleh dibuat oleh kedutaan dan syarikat penerbangan, atau pesawat sewa.

Sementara itu, menurut sumber penerbangan sewa lebih mahal, yang mana tiket sehala kira-kira RM16,000 hingga RM18,000.

“Sama ada penerbangan ke China, Vietnam atau Nepal, ramai yang menunggu untuk pulang ke negara mereka,” kata sumber.

Kedutaan China di Malaysia mengeluarkan peringatan kepada warganya agar berhati-hati ketika membeli tiket penerbangan bagi mengelakkan penipuan, termasuk dengan membeli terus daripada syarikat penerbangan.

Syarikat penerbangan China yang beroperasi termasuk China Eastern, China Southern, Xiamen Air dan Air China. – 17 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen